|
KLANG, 6 JULAI 2014 - Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak yang sihat tidak mengalami sebarang sakit pergi meninggalkannya sekelip mata.
Begitulah yang dirasai oleh Rosmini Kadis, 53, apabila kehilangan anak bujangnya, Ahmad Affiq Nor Azman, 17, atau lebih mesra dipanggil Alang setelah terlibat kemalangan kira-kira jam 5.55 petang, kelmarin.
Rosmini berkata, sebelum meninggal dunia, anak keempatnya itu sangat manja dengannya dan tidak mahu berenggang.
"Sabtu lalu, arwah teringin sangat jaga makcik di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), sebab makcik ada jalani pembedahan buang ketumbuhan dalam rahim. Lima hari makcik dalam wad, dia nak sangat jaga tapi tak dapat sebab hanya ahli keluarga perempuan saja dibenarkan.
"Dia sangat kecewa. Bila makcik dah balik rumah dia jaga makcik, selalu dengan makcik tak nak berenggang," katanya sebak sambil memberitahu sambutan lebaran kali ini tentunya muram ketiadaan arwah.
"Arwah anak yang sangat taat. Cikgu sekolah dia pun beritahu dia rajin. Cikgu-cikgu dengan kawan-kawan sekolah suka dia. Tapi yelah, ALLAH lebih sayangkan dia... Makcik reda. Arwah pun pergi (meninggal dunia) hari baik, hari Jumaat dalam bulan mulia, Ramadan," katanya sayu.
Jenazah Ahmad Affiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, sekitar jam 9 pagi, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri memintas sebuah kereta Perodua Myvi.
“Secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Kelisa datang dari arah bertentangan merempuh motosikal mangsa. Pemandu Kelisa yang gagal kawal kenderaannya lalu merempuh pula Perodua Myvi.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke jalan raya,” katanya sekali gus memaklumkan mangsa cedera parah di kepala dan patah kaki, maut di tempat kejadian.
“Kedua-dua pemandu turut mengalami cedera ringan. Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
|
Kemaskini pada 2016-05-20 12:52:13 daripada Admin ICT