![]() KLANG, 12 Disember 2014- Longkang tersumbat, ditimbuni sampah sarap dan dipenuhi tumbuhan liar antara faktor gangguan kepada sistem saliran di kawasan ini. Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azmizam Zaman Huri berkata, longkang tersumbat menyebabkan rumah dinaiki air bahkan air yang bertakung juga boleh membiakkan jentik-jentik. Menurutnya, bagi mengelak denggi, MPK sudah menjalankan kerja-kerja pembersihan. “Kita harap masyarakat setempat tidak membuang sampah ke dalam longkang berhampiran kediaman. “Isu kebersihan antara perkara asas yang menjadi perhatian Menteri Besar Selangor dan ia harus dipandang serius oleh semua pihak. “Masalah ini tidak akan selesai jika tanggungjawab pada MPK semata-mata tanpa sokongan penduduk setempat melalui kesedaran kebersihan” katanya ketika meninjau kerja pembersihan longkang oleh MPK di sekitar Apartment Golden Villa yang tersumbat teruk, beberapa hari lalu. Beliau menyarankan MPK menambah tong sampah di lokasi terlibat untuk kemudahan penduduk terutama di penempatan dihuni ramai warga asing. Katanya, pihak majlis mengalu-alukan sebarang aduan dan pandangan orang ramai dengan menghubungi talian 1-800-8823826. |
Kemaskini pada 2016-05-20 12:33:13 daripada Admin ICT