![]() KLANG, 12 Disember 2014– Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa menjalankan kerja penyelenggaraan sistem perparitan utama di daerah ini terutama di kawasan rendah sebelum berlakunya banjir. Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abd Malik berkata, kos penyelenggaraan juga dapat dijimatkan sekiranya JPS mengambil pendekatan produktif dengan menyelenggara sistem perparitan secara berjadual. Menurutnya, JPS seharusnya memberi tumpuan di kawasan rendah yang sering dinaiki air bagi kerja penyelenggaraan untuk memastikan masalah banjir tidak berulang terutama pada musim tengkujuh. “Saya sendiri telah bertemu dengan pegawai JPS bagi memastikan masalah ini diatasi secara holistik agar kejadian banjir kilat yang berlaku dua kali di beberapa kampung pada tahun ini tidak berlaku lagi,” katanya. Kamarol Zaki berkata, masalah sistem perparitan tersumbat dikenal pasti berlaku di kawasan kampung disebabkan longgokan sisa sampah-sarap dan pertumbuhan rumput yang tidak dipotong. Selain itu, katanya, kebanyakan penduduk masih menggunakan sistem pembetungan kecil di hadapan rumah menyebabkan air dari parit mudah melimpah dengan lebih cepat dan hanya akan surut beberapa hari kemudian. Sehubungan itu, katanya, mana-mana penduduk yang ingin membina rumah baharu di kawasan kampung perlu memastikan sistem pembetungan yang dibina lebih besar dan dalam bagi mengelakkan air parit melimpah. “Penduduk seharusnya merancang untuk mengubah sistem pembetung masing-masing kerana itu adalah punca berlakunya banjir di kawasan perkampungan,” katanya. Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan dapat mendalamkan kawasan parit persekitaran bagi melancarkan pengaliran air. “Mungkin kalau dapat didalamkan lagi parit ini, air tak melimpah. Selain itu, rumput-rumput yang tumbuh tinggi juga boleh mengganggu aliran air, lebih buruk jika ada sampah sarap,” katanya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 12:32:58 daripada Admin ICT