Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
Portal Rasmi

PEJABAT DAERAH DAN TANAH KLANG

Klang Daerah Impian, Makmur & Berwawasan
SELANGOR MAJU BERSAMA
office-icon

 

selangorSELAMAT DATANG [ TUTUP X ]
KE PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH/TANAH KLANG

KAJIAN KEPUASAN PELANGGAN

KLIK/SCANqr-code


ADUAN / MAKLUMBALAS KLIK/SCAN
qrcode-aduan

'Boleh pindah tapi ada tiga syarat'

  KLANG, 3 Februari 2015- “Kami bukan degil tak nak ikut arahan pihak berkuasa, tapi apa yang dilakukan mereka tak sesuai dengan kehendak penjaja,” kata Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Seri Perantau, Tamby Hashim selepas puluhan penjaja enggan berpindah walaupun pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyediakan 30 petak khas untuk mereka bersebelahan Pangsapuri Seri Perantau sejak dua tahun lalu.

Beliau yang juga penjaja di Pangsapuri Seri Perantau sejak sembilan tahun lalu dengan menjual burger berkata, pihak berkuasa harus mengambil kira hak dan kepentingan penjaja.

“Memang MPK dah sediakan tapak untuk 30 penjaja di padang berdekatan sejak dua tahun lalu, tapi tapak itu sesuai untuk berniaga pasar malam kerana ia kosong tanpa kemudahan bangunan, bekalan air dan elektrik.

“Saiz tapak juga sempit. Bagi peniaga makanan kering atau pakaian memang sesuai, tapi kami yang berniaga makanan perlu dimasak bagaimana," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tamby berkata, tapak disediakan juga tanpa bangunan dan bumbung menyebabkan penjaja terdedah kepada cuaca panas, malah risau jika khemah diterbangkan angin kencang. 

Ada tiga syarat

Sementara itu, peniaga pisang goreng dan minuman, Syamsul Saharudin, 38, berkata, penjaja bukannya keras kepala, sebaliknya bimbang tawaran dijanjikan tidak ditepati.

“Alasan mereka selepas kami pindah ke tapak itu, mereka akan dirikan kemudahan seperti bangunan, bekalan air dan elektrik untuk keselesaan.

“Namun kami yakin, itu hanya alasan untuk pindahkan kami ke situ. Apa salahnya jika mereka sediakan kemudahan itu terlebih dahulu dan kemudian baru kami pindah,” katanya.

Beliau berkata, penjaja boleh ikut kehendak MPK melalui tiga syarat.

“Kami mahu gerai di tapak baru itu dibina dengan bangunan yang selesa umpama medan selera. Kemudian ia perlu lengkap dengan kemudahan bekalan air dan elektrik.

“Kami juga sanggup bayar sewa jika majlis kenakan bayaran, tapi harga kenalah berbaloi dengan kemudahan infrastruktur,” katanya.

Dalam pada itu, berikutan kegagalan pihak berkuasa merobohkan puluhan gerai berkenaan baru-baru ini, Sinar Harian dimaklumkan penjaja diberi tempoh dua minggu untuk berbincang berkenaan lokasi bersesuaian yang boleh dicadangkan kepada majlis.

Lokasi perlu strategik

Peniaga mi, Satarudin Kamal, 47, berkata, penjaja mencadangkan agar sebuah penempatan statik (setempat) seperti medan selera didirikan di sebelah kiri berhadapan Pangsapuri Seri Perantau.

“Kami cadangkan ia dibina secara deretan untuk semua penjaja yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Kalau pihak majlis setuju, penjaja akan ikut arahan berpindah dan tak lagi menjalankan operasi di tapak sedia ada. Kami masih dalam proses perbincangan dan belum diputuskan secara rasmi oleh semua penjaja untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting, kedudukan lokasi perniagaan dijalankan di lokasi bersesuaian, seperti di tepi jalan.

“Jika perniagaan dibuat di kawasan tertutup dan sukar dilihat orang ramai, ia boleh menjejaskan periuk nasi kami,” katanya.

Dakwanya, penjaja sudah banyak kali memohon lesen berniaga daripada majlis, namun sehingga kini gagal.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan, pihak berkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Klang, MPK dengan bantuan PDRM berhasrat untuk merobohkan puluhan gerai penjaja di bahu jalan serta di bawah Pangsapuri Seri Perantau semalam, bagaimanapun ia gagal selepas mendapat bantahan umum.

Seramai kira-kira 30 penjaja didakwa enggan berpindah walaupun pihak berkuasa sudah menyediakan tapak khas melibatkan 30 petak di padang berdekatan pangsapuri itu sejak dua tahun lalu atas pelbagai alasan
 

Kemaskini pada 2015-02-05 09:54:03 daripada Admin ICT

  •  
  • Print
  • Email this page