KLANG, 16 Mac 2015– Kelewatan penjaga kunci air Sungai Putus membuka pintu air ketika hujan lebat didakwa penduduk antara penyebab kawasan Kampung Sungai Pinang Dalam, Batu 2, Jalan Kapar, dinaiki air, Isnin lalu. Penduduk yang juga mangsa banjir, Mohd Hafiz Azalan, 30, berkata, dia dan keluarga dikejutkan dengan kejadian itu kira-kira jam 5 pagi selepas air memasuki kediaman. “Keluarga bergegas nak pindahkan barang ke tempat selamat, sementara saya ke rumah penjaga kunci air minta buka pintu air segera nak elak ia terus naik. "Dia hanya buka pintu air kira-kira 10 minit kemudian, gara-gara terlelap dan tidak sedar kejadian itu," katanya kepada Sinar Harian. Bagaimanapun menurutnya, selepas sejam pintu tersebut dibuka, air mulai surut. Menurutnya, kejadian Isnin lalu adalah kali pertama untuk tahun ini dan dia kesal kerana kelewatan membuka pintu air menyebabkan kediamannya dan jiran lain dinaiki air. “Walhal pada malam itu, hujan turun tidak lebat dan kami jangka banjir tak akan berlaku. “Saya harap penjaga pintu air lebih peka dan bertanggungjawab agar kejadian sama tidak berulang,” katanya. Penduduk, Siti Fatimah Ali, 76, berkata, bahagian dapur rumah sewanya turut dinaiki air sehingga paras buku lali. “Ini kejadian pertama untuk tahun ini. Sebelum itu, kawasan ini dilanda hujan, tapi taklah selebat mana. “Saya terpaksa bersihkan ruangan itu dengan kudrat tak seberapa selepas dimasuki air banjir,” katanya. Walaupun kampung berkenaan kerap dilanda banjir sebelum ini akibat hujan lebat, air laut pasang termasuk kedudukannya yang berhampiran dengan Sungai Klang, penduduk masih boleh menerima kerana ia kejadian semula jadi yang sukar dielak. Apa yang dikesali ialah tindakan segelintir penduduk yang menjadi punca kejadian itu apabila ada di kalangan mereka membina jambatan serta menambak parit atas saluran air hingga ia menjadi semakin kecil. Penduduk, Rosiah Man, 53, berkata, apabila saluran air mengecil, ia sukar menampung air yang banyak terutamanya ketika hujan lebat. “Akibatnya, air akan melimpah ke kediaman penduduk,” katanya. Sementara itu, penduduk, Mohd Nur Ameen Mohd Amami, 25, berkata, tindakan menutup laluan air harus dipandang serius pihak berkuasa. “Saya harap pihak berkuasa dapat bertindak tegas terhadap penduduk yang menutup saluran air hingga mengakibatkan limpahan air berlaku. “Memang diakui kawasan ini kerap dilanda banjir, tapi langkah yang berkesan boleh digunakan bagi mengelak banjir berterusan berlaku,” katanya. |
Kemaskini pada 2015-03-17 08:15:43 daripada Admin ICT