PELABUHAN KLANG, 17 Ogos 2015 - Seorang pemandu bot berusia 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan insiden perlanggaran dua bot sehingga menyebabkan dua penumpang cedera di perairan berhampiran jeti feri Pelabuhan Klang pada Sabtu lepas. Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintandan Ahmad Shafiki Hussin berkata pihaknya menahan pemandu itu disekitar Pelabuhan Klang kira-kira 11.30 malam hari kejadian. "Suspek ditahan reman sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 208 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membawa perahu atau bot secara cuai sehingga menyebabkan cedera pada seseorang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Dalam kejadian 4.25 petang itu, sebuah bot membawa 20 penumpang yang sedang dalam perjalanan dari jeti Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam berlanggar dengan bot suspek yang membawa dua penumpang wanita. Kedua-dua penumpang wanita itu dikenali sebagai Heng Sioh Luien, 25, berasal dari Klang dan Tan Wek Piau, 41, berasal dari Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur. Mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan Hospital Sunway. Keadaan mereka masih belum stabil. - Bernama |
Kemaskini pada 2016-05-20 12:18:45 daripada Admin ICT