Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
Portal Rasmi

PEJABAT DAERAH DAN TANAH KLANG

Klang Daerah Impian, Makmur & Berwawasan
SELANGOR MAJU BERSAMA
office-icon

 

selangorSELAMAT DATANG [ TUTUP X ]
KE PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH/TANAH KLANG

KAJIAN KEPUASAN PELANGGAN

KLIK/SCANqr-code


ADUAN / MAKLUMBALAS KLIK/SCAN
qrcode-aduan

Meru tenggelam lagi, kali ini lebih buruk

KLANG,15 Disember 2015 - Pertama kali dalam sejarah tahun ini, Meru dilanda banjir teruk sehingga hampir seluruh kawasan dinaiki air menyebabkan ratusan rumah, surau dan masjid terjejas.

Hujan lebat lebih tiga jam sekitar jam 2.30 petang kelmarin turut menyebabkan 97 orang membabitkan 25 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di dewan Taman Meru 3.

Bagaimanapun sekitar jam 2.15 petang semalam, kesemua mangsa kemudiannya dipindahkan ke Dewan Merak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru atas tujuan keselesaan.

Sejam kemudian, 14 orang melibatkan dua keluarga dari Taman Seri Puteri dipindahkan ke pusat pemindahan yang sama selepas kediaman mereka dinaiki air.

Keadaan mula menjadi buruk apabila sekitar jam 1 petang semalam, air melimpah ke jalan raya di Persiaran Hamzah Alang yang menghubungkan pekan Meru dan Kapar menyebabkan jalan sesak hingga terdapat kenderaan terpaksa berpatah balik atas faktor keselamatan.

Salah seorang mangsa yang dipindahkan, Ahmad Mahadi Ramli, 62, berkata, dia dan isteri yang tinggal berdua dipindahkan ke pusat pemindahan sekitar jam 11 malam kelmarin.

“Sebelum itu, kami ada di luar kawasan untuk selesaikan urusan peribadi. Bila tiba di rumah terkejut tengok air dah penuh di ruang tamu dan bilik tidur.

“Semua peralatan dan kabinet tak sempat nak diselamatkan. Kami ambil keputusan pindah atas nasihat pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pusat pemindahan, semalam.

Dia dan isterinya yang tinggal di Persiaran Hamzah Alang berkata, ini merupakan kali pertama mereka berpindah dan menyifatkan banjir berkenaan sebagai terburuk di Meru.

Seorang lagi mangsa, Rosini Abu, 69, berkata, perpindahan ini adalah kali kedua melibatkan dia sekeluarga.

“Kami dipindahkan kali pertama Oktober lepas. Tapi banjir kali ini lagi teruk sampai air naik paras pinggang dalam rumah.

"Disebabkan bimbang, kami pun ikut arahan pihak berkuasa supaya berpindah," katanya.

Banjir semalam bukan sahaja berlaku di Meru, bahkan Jalan Benteng, Kapar dan Kampung Kuantan.

Berdasarkan tiga lokasi itu, sejumlah 192 orang melibatkan 39 keluarga dipindahkan melibatkan tiga pusat pemindahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Athan berkata, 111 orang melibatkan 27 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan SMK Meru.

“Sejumlah 64 orang melibatkan tujuh keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Abdul Samad, Pekan Kapar.

“Manakala 17 orang lagi melibatkan lima keluarga ditempatkan di dewan Kampung Kuantan sehingga tengah hari semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, anggota bomba Sungai Pinang turut terlibat dalam operasi membantu dan menyelamat seorang mangsa, warga emas yang sakit teruk untuk dihantar ke rumah saudaranya.

Katanya, pihak bomba sentiasa memantau kejadian dan sentiasa bersiap sedia membantu dan menyelamat mangsa banjir.

Dalam pada itu, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman mengakui sistem saliran bermasalah antara faktor yang menyebabkan berlakunya banjir di kawasan Meru.

Menurutnya, bagaimanapun selepas pembinaan longkang besar (flood drain) di hadapan Masjid As-Syariff di sini, banyak perubahan berlaku.

“Banjir yang berlaku sejak kebelakangan ini tidak kerap seperti tahun lalu.

“Dalam Sidang Dewan Negeri, saya telah bawa isu ini dan kerajaan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM10.2 juta untuk tujuan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, kerja-kerja itu melibatkan dua tempat.

“Kerja-kerja itu juga sudah bermula dan ia dijangka siap tahun depan,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah pula berkata, pihaknya dan Abdul Rani kerap bertemu dan bertembung dalam program sebegini.

“Benda ini bukan baru tetapi dah lama, kebetulan kali ini kami bertemu lagi.

“Dia wakil rakyat sudah jadi tanggungjawabnya untuk turun padang. Lagipun ini kawasannya dan saya juga pemimpin di peringkat bahagian, ini juga tanggungjawab saya menjenguk rakyat (mangsa banjir),” katanya ketika bersama Abdul Rani melawat mangsa di pusat pemindahan banjir di SMK Meru, semalam.

Menurutnya lagi, banjir sudah banyak kali berlaku di sini.

“Jadi tiada salahnya kami saling bekerjasama untuk hal-hal berkaitan rakyat dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rani berkata,  pihaknya juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno dalam hal berkaitan rakyat di sini.

“Tak ada masalah, bila ada Pemuda Umno minta bantuan atau peruntukan kita beri, saya tak kira dia siapa dan dari parti mana.

“Agama Islam sentiasa ajar kita agar berbakti kepada sesama Islam dan juga pada bukan Islam, orang Umno juga orang Islam, jadi tak ada masalah,” katanya.
 
 
image

Kemaskini pada 2016-05-20 11:49:37 daripada Admin ICT

  •  
  • Print
  • Email this page