KLANG,18 Disember 2015 - Jabatan Amal Malaysia amat kesal dengan tindakan pemimpin Umno Bahagian Kapar yang cuba mempergunakan kuasa mereka di peringkat persekutuan untuk mengusir anggota Jabatan Amal Malaysia yang berhari-hari membantu mangsa banjir di Dewan Merak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru sejak banjir, Isnin lalu. Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, anggota Jabatan Amal Malaysia merupakan antara agensi pertama sekali yang menyediakan tempat penginapan yang lebih selesa kepada mangsa banjir di tempat tersebut. “Demi mengutamakan elemen aurat dan privasi mangsa banjir, maka Jabatan Amal Malaysia menaikkan khemah di dewan sekolah tersebut. “Malangnya semua kerja ikhlas yang dicurahkan petugas Jabatan Amal Malaysia menyebabkan Umno Kapar sakit hati lalu mengarahkan petugas keluar dari sekolah tersebut. “Khemah tersebut diganti dengan pemidang 1M4U yang cuma setinggi dua kaki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, kerana mahu mengejar nama dan ‘political mileage’, apa sahaja halal bagi Umno. “Tindakan ini juga menjawab persoalan tentang Pas yang didakwa akan bergabung dengan Umno. “Kalau benar hendak bergabung, mana mungkin kami Jabatan Amal Malaysia dihalau,” katanya. Abdul Rani berkata, pihaknya berharap agar pihak yang menyalak bahawa Pas dan Umno akan bergabung dapat menilai sendiri bukti yang jelas ini. “Buat semua anggota dan pegawai Jabatan Amal Malaysia negeri Selangor yang telah mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk berbakti kepada mangsa banjir di Meru, syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 11:49:18 daripada Admin ICT