KLANG, 20 APRIL 2016 - Sebanyak 49 kompaun dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor terhadap majikan-majikan yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja masing-masing. Pengurus Perkeso Klang, Mustafa Draman berkata, jumlah kompaun dikeluarkan adalah RM56,000 melalui Ops Kesan Bersepadu Peringkat Negeri Selangor ketiga dan bertumpu di lapan kawasan liputan Perkeso Klang. "Kita periksa 798 majikan di sekitar Klang dan mendapati sebanyak 8.4 peratus majikan tidak mematuhi syarat-syarat Perkeso dan 6.14 peratus dikenakan kompaun. "Operasi ini adalah kali pertama diadakan secara bersepadu dengan gabungan seluruh pejabat Perkeso Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan 105 anggota yang dibahagikan kepada 35 kumpulan," katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, antara alasan diberi majikan ialah baru memulakan operasi, menggaji pekerja sambilan atau kontrak dan ada yang berdaftar tetapi tidak membuat caruman secara konsisten. "Tidak kira apa status pekerja, semuanya perlu mendapat caruman Perkeso dalam usaha menjaga kebajikan pekerja dan ia adalah tanggungjawab majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja. "Kita dah beri tempoh selama 30 hari pada program pemutihan pada Mac lalu, dan mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturan, boleh dikenakan tindakan. Kepada yang masih belum berbuat demikian, boleh hadir ke pejabat Perkeso \berdekatan," katanya. Sementara itu, Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu berkata, tahun lalu sebanyak 10.3 peratus majikan di seluruh Malaysia dikenal pasti tidak mendaftar. "Itu yang kita kesan, tapi kami jangka jumlahnya lebih daripada itu, sekitar 20 peratus. Majikan perlu tahu kewajipan mendaftarkan syarikat dan pekerja dengan Perkeso dan tak ada alasan tidak tahu peraturan ni. "Di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan yang tidak mematuhi arahan boleh dikenakan kompaun minimum RM500 hingga RM4,000. Jangan tunggu kita datang buat pemeriksaan, anda boleh datang ke pejabat kami secara sukarela dan berbincang untuk penyelesaian terbaik," katanya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 11:40:01 daripada Admin ICT