RAWANG - Tasik yang baru dibangunkan untuk dijadikan kawasan riadah beberapa tahun lalu kini dijadikan port mandi oleh segelintir golongan remaja di Bandar Country Homes di sini.

Seorang penduduk, Md Noor Othman, 54, berkata, biarpun terdapat notis larangan mandi di kawasan tersebut namun aktiviti tersebut makin aktif malah dapat dilihat terutamanya ketika hujung minggu.

Menurutnya, dia beberapa kali menasihatkan pelajar supaya tidak mandi di kawasan tersebut kerana kedalamannya yang tidak sesuai untuk aktiviti itu.

“Kalau nampak saya tegur, tapi lagi kita halang lagi mereka buat. Selain mandi ada juga yang memancing. Notis ada dipasang tapi tak diendahkan.

“Kalau buat pagar atau tembok tak sesuai pula sebab kawasan itu tempat awam. Kalau penguat kuasa buat rondaan lebih kerap mungkin pelajar-pelajar ini takut dan tak salah guna tasik itu hingga boleh membahayakan nyawa mereka sendiri,” katanya.

Awal bulan lalu, seorang pelajar meninggal dunia dipercayai lemas sewaktu mandi di tasik tersebut bersama rakan-rakannya.

Difahamkan, jambatan kecil yang menjadi laluan di tengah tasik dijadikan tempat remaja untuk terjun ke dalam tasik.

Seorang peniaga, Syed Yusof Syed Husin, 46, berkata, demi menjaga keselamatan dan mengelak insiden berulang dia mencadangkan tindakan lebih tegas diambil.

“Kalau kenakan denda atau kompaun mungkin mereka patuh arahan larangan itu. Biasanya mereka yang mandi ini adalah pelajar yang datang berkumpulan tanpa dipantau orang dewasa," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon 18, S Durairatnam berkata, susulan insiden lemas seorang pelajar di tasik tersebut, MPS telah memasang notis larangan mandi di kawasan tersebut.

“Tembok dan pemagaran tasik tersebut juga diusulkan yang kini dalam proses penelitian bergantung kepada bajet dan peruntukan.

“Rondaan berkala juga dibuat di kawasan itu sebagai mengekang aktiviti tersebut dilakukan di situ. Kawasan itu dibangunkan bagi memenuhi kemudahan riadah namun disalah guna hingga memudaratkan,” katanya.