AWAS PENIPUAN DI DALAM URUSAN JUAL BELI / PINDAH MILIK TANAH
Sejak kebelakangan ini banyak kes-kes penipuan dalam urusan jual beli hartanah atau urusan pindah milik tanah berlaku di seluruh negara dilaporkan. Statistik penipuan boleh dilihat melalui portal rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan di dalam surat khabar The Star bertarikh 4 Ogos 2010:
http://www.kptg.gov.my/ms/component/content/article/483.html?task=view


Pejabat Tanah dan Galian telah bekerja sama dengan pelbagai agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan sebagainya dari masa ke semasa dalam mencegah kegiatan ini daripada berleluasa. Terdapat beberapa faktor yang menjurus ke arah masalah penipuan ini berlaku sama ada melibatkan sindiket atau pun perseorangan.
Elemen-elemen jenayah penipuan yang terkandung di dalam urusan tukar hak milik tanah yang telah dikenal pasti termasuklah :
1. Pemalsuan
a) kertas hak milik ( geran tanah),
b) kad pengenalan,
c) tanda tangan,
d) borang 14A,
e) surat kuasa wakil,
f) perintah mahkamah,
g) dan apa sahaja yang berkaitan dengan suratan,
h) Duti setem LHDN,
i) Cetakan setem menggunakan mesin ‘franking’.
2. Penyamaran sebagai tuan tanah.
3. Penyamaran sebagai agen hartanah.
Tip bagi menggelakkan anda tertipu sama ada melalui sindiket atau orang perseorangan ketika membuat urusan jual beli hartanah / pindah milik hartanah.
Anda yang berhasrat untuk memiliki hartanah dinasihatkan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa dalam penipuan. Di antara langkah-langkah yang anda (bakal pembeli) boleh lakukan bagi mengelakkan tertipu ialah dengan memastikan perkara-perkara berikut:
1. Waspada jika harga jualan terlalu murah daripada nilaian semasa.
2. Jangan mudah terpengaruh apabila ada pihak menawarkan harga tanah yang murah kerana ia
mungkin membabitkan sindiket penipuan.
3. Pastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah.
4. Buat semakan berkaitan pemilikan(tuan punya tanah), no. hak milik, no. lot. Mukim, saiz /
keluasan tanah melalui Carian di Pejabat Tanah.
5. Semak sekatan kepentingan seperti kebenaran pindah milik, kaveat, cagaran / gadaian,
pajakan dan sebagainya.
6. Jika boleh, sila berjumpa dengan tuan tanah untuk mendapatkan pengesahan.
7. Pastikan wakil mempunyai Surat Kuasa Wakil (Power Attorney) yang sah.
8. Wujudkan perjanjian jual beli.
9. Gunakan khidmat peguam yang sah.
10. Gunakan khidmat agen hartanah yang berpengalaman.
11. Jangan mudah terpedaya dengan janji manis oleh penjual / agen penjual.
12. Sentiasa menyimpan perasaan curiga atau ragu-ragu.
Sekian.
|