Geng Muruku rompak kuil, curi haiwan peliharaan tumpas
Antara barang rampasan dipercayai hasil pecah rumah dan samun oleh Geng Maruku
KUALA LANGAT - Polis menumpaskan Geng Muruku yang aktif menyamun dan melakukan rompakan dengan tertangkapnya lima lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di sini dan Bandar Baru Klang, Klang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, geng tersebut dipercayai aktif merompak, menyamun dan mengambil apa sahaja termasuk haiwan peliharaan serta barang makanan.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang pesara berusia 69 tahun yang bertugas sebagai setiausaha di sebuah kuil di Telok Bunut, Banting selepas rumah ibadat berkenaan disamun oleh suspek terbabit pada Isnin.
"Dalam kejadian tersebut dua orang pekerja kuil mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dipukul dengan kayu oleh suspek. Suspek menyasarkan kuil untuk merompak barang kemas yang digunakan ketika upacara sembahyang.
"Barang-barang yang hilang berupa pasport, telefon bimbit, komputer riba, wang tunai RM7,800 serta barang kemas bernilai RM16,000 milik kuil," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Klang sekitar jam 12.15 tengah malam pada Selasa.
"Hasil soal siasat pada 4 Januari jam lebih kurang 4.45 pagi serbuan kedua dibuat dan berjaya memberkas tiga lelaki tempatan di kawasan Banting," katanya.
Katanya, pihaknya berjaya menemui barang milik mangsa dan sejumlah barang disyaki hasil kegiatan jenayah membabitkan beberapa kes pecah rumah, pecah kedai, pecah pejabat dan samun.
*Sumber : Sinar Harian
Kemaskini pada 2022-01-14 16:29:08 daripada Administrator