Pantai Kelanang siap akhir tahun
KELANANG - Kerja-kerja naik taraf kemudahan awam dan pembinaan pentas di Pantai Kelanang bakal siap selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Adun Morib, Hasnul Baharuddin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM65,000 untuk pembinaan pentas projek naik taraf itu bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Menurutnya, beliau mengakui sebelum ini terdapat rungutan peniaga dan pengunjung yang mahukan kemudahan dinaiktarafkan berikutan tiada kawasan sesuai dijadikan kawasan hiburan yang santai.
“Memang kemudahan pentas tiada dan jadi masalah kepada penganjur program untuk mengadakan aktiviti.
“Jadi jika ada pentas, bolehlah pengunjung mengadakan program di Pantai Kelanang sekali gus membantu menambah jumlah pengunjung ke Pantai Kelanang,” katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai pembangunan Pantai Kelanang.
Hasnul ketika ditemui turut memaklumkan bakal membuat perubahan di Pantai Kelanang apabila melihat pelbagai pantai di kawasan Dun Morib terus mendapat perhatian.
“Saya nak tengok lepas ini bila pembangunan di Pantai Kelanang sudah bertambah, ramai pengunjung singgah.
“Paling penting dapat melihat sebuah pantai yang bersih dan mampu menarik minat pengunjung baru,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan rungutan penduduk dan peniaga yang mahukan pembangunan kemudahan pentas dibangunkan bagi menarik minat pelancong.
Tinjauan sebelum ini turut melaporkan keadaan Pantai Kelanang seperti tidak terjaga berbanding Pantai Morib.
Kemaskini pada 2015-11-30 10:14:37 daripada Administrator