Subur tradisi perarakan berkhatan
KELANANG - Tradisi lama jika terus disuburkan akan memberi impak positif kepada masyarakat khasnya dalam menyatupadukan rakyat.
Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Rosli Othman, mengajak semua kampung menganjurkan aktiviti perarakan bagi meraikan anak-anak dalam mana-mana majlis berkhatan.
“Saya suka lihat aktiviti ini diadakan dan anak-anak pula rasa seronok apabila dirai. Saya sentiasa beri sokongan kepada penganjuran program berkhatan beramai-ramai kerana di sinilah jaringan sosial antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan pelbagai pihak dapat dibentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perarakan sejauh 600 meter bagi meraikan anak-anak kampung berkhatan di Balai JKKK Kampung Kelanang anjuran Pejabat Penghulu Mukim Morib dan Kelanang, JKKK Kampung Kelanang dan Jawatankuasa Masjid Al Azim Kelanang.
Menurutnya, beliau bimbang jika generasi akan datang tidak dapat merasai keseronokan dirai bersama penduduk kampung.
Sementara itu, Penghulu Mukim Morib dan Kelanang, Sharip Ahmad berkata, pada program itu, seramai 23 kanak-kanak dirai dan jumlah itu menjadi tarikan apabila dikumpulkan melalui kerjasama Lembaga Zakat Selangor Cawangan Kuala Langat, Rela Kelanang dan Pasukan Bomba Kuala Langat.
Katanya, peserta yang terpilih juga adalah dari golongan berpendapatan rendah sekali gus mengurangkan beban ibu bapa untuk mengeluarkan kos berkhatan.
Selain perarakan, persembahan silat, pertandingan pakaian cantik dan gimik pancuran air bomba juga diadakan.
Kemaskini pada 2016-05-27 11:57:42 daripada Administrator