Urus peribadi jadi lebih hebat
JUGRA - Kolej Komuniti Kuala Langat merupakan kolej komuniti pertama di Malaysia yang menganjurkan Program Aku Juara Hebat – Neuro-Linguistic Programming (NLP) for Student.
Pengarah kolej, Zainah Rujihan berkata, program yang dikelola Unit Hal Ehwal Pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat adalah sebagai usaha membentuk dan membangunkan potensi diri pelajar supaya lebih berkeyakinan, berdaya saing, bijak dan matang dalam menguruskan peribadi serta kerjaya pada masa hadapan.
Menurutnya, lebih kurang 400 pelajar kolej terlibat dalam program yang dijalankan sebanyak tiga sesi itu.
“Antara modul yang terdapat dalam program ini ialah Transformasi Diri, Potensi Diri, Pemikiran Strategik dan Insan Cemerlang. Pelajar diberi peluang terlibat dengan aktif sepanjang sesi dilangsungkan.
"Pelajar KKKL juga turut bertuah apabila Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Abd Halim Jusoh turut hadir bersama untuk merasmikan program," katanya.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, program ini berpotensi membina generasi yang mampu mengelola pengurusan diri dan kerjaya dengan berkesan.
“Harapan saya agar ia dapat diteruskan lagi pada masa hadapan kepada semua kakitangan dan pelajar baru kolej ini,” katanya.
Pelajar Program Sijil Aplikasi Perisian Komputer, Afiqah Amanzah berkata, dia gembira kerana berpeluang mengikuti program ini.
Katanya, selepas mengikuti program tersebut, dia seolah-olah menjadi seorang individu baru yang lebih berkeyakinan dan bersemangat.
Kemaskini pada 2016-05-27 11:57:31 daripada Administrator