Lubang jalan sebesar kawah
KUALA LANGAT – Jalan penghubung yang menyambungkan penduduk dari Kampung Lombong ke Puchong dilaporkan rosak teruk dan berbahaya kepada pengguna.
Pengguna, Samad Kassim, 50, berkata, tebing jalan laluan di bawah Lebuh raya Elite itu juga semakin terhakis dibawa arus Sungai Klang setiap hari.
Menurutnya, pengadang besi yang menjadi sempadan antara jalan dan sungai kini sudah terbenam, keadaan itu dibimbangi membahayakan pengguna baru yang melalui laluan tersebut.
“Laluan itu kerap dinaiki air apabila hujan lebat, dengan keadaan jalan yang licin, kenderaan pengguna boleh tergelincir masuk ke sungai.
“Saya minta pihak berkenaan supaya pantau keadaan jalan di bawah lebuh raya ini. Ia digunakan ribuan kenderaan setiap hari, jika tak diambil tindakan, saya bimbang jalan akan rebak kerana tebingnya dah terhakis,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia turut meminta pihak berkenaan menurap semula jalan tersebut kerana dipenuhi lubang bersaiz kawah yang berbahaya kepada kenderaan kecil termasuk motosikal.
“Ini satu-satunya jalan pintas untuk penduduk Kampung Lombong ke Puchong atau Taman Mas, saya harap jasa baik pihak berkenaan baiki jalan rosak dan tebing yang terhakis itu,” katanya.
Kemaskini pada 2016-05-26 16:35:06 daripada Administrator