Tak kisah bawa bekas sendiri
Pengunjung dilihat membawa bekas makanan sendiri pada jamuan hari raya MDKL.
BANTING - Inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melaksanakan kempen menggalakkan penggunaan bahan boleh dikitar semula melalui penganjuran majlis Aidilfitri mendapat sambutan positif.
Pengunjung, Nor Asiah Muhammad, 39, berkata, dia tidak segan membawa bekas sendiri selepas mendapat makluman tersebut, sekali gus menganggap ia sebagai satu kelainan sambutan raya untuk tahun ini.
“Langkah ini sebenarnya bagus, sebab jika dipraktikkan, makanan tak dibazirkan dan pengunjung berpeluang bawa makanan yang tak habis pulang.
“Tapi janganlah kita datang majlis rumah terbuka, kita bungkus untuk makan seisi keluarga pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi peniaga, Ng Siew Kim, 40, dia mewakili bapanya hadir sebagai pelanggan MDKL.
Katanya, dia terkejut apabila melihat pengunjung makan menggunakan bekas atau pinggan yang dibawa.
“Saya datang tak bawa pinggan, jadi saya belilah pinggan dan sudu yang turut dijual. Saya tak kisah sebab ini adalah usaha untuk elak pencemaran,” katanya.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, beliau bangga apabila melihat pengunjung menyahut seruan itu dan kebanyakan tetamu yang hadir, membawa peralatan seperti pinggan dan cawan sendiri.
“Walaupun gerai jualan peralatan (set pinggan, cawan dan sudu plastik) juga dibuka bagi kemudahan orang ramai, namun saya nampak mereka bawa bekas sendiri.
“Usaha ini saya lihat berjaya dan saya sendiri sempat beramah mesra dengan tetamu,” katanya yang seronok melihat sambutan tetamu yang menggalakkan.
Mohd Azhar ketika ditemui berkata, kempen galakan seperti ini bakal diperhebatkan dalam pelbagai aktiviti lain selepas ini.
Katanya, sebelum ini kempen tanpa beg plastik juga pernah dijalankan di bazar Ramadan bagi menggalakkan penggunaan bahan kitar semula.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2016-08-01 11:18:39 daripada Administrator