Sulaiman bersama ibunya, Norliah menunjukkan salinan laporan polis dan beberapa dokumen yang telah diadukan kepada pelbagai pihak.
BANTING BARU - Hasrat seorang anak ingin menggembirakan ibunya berakhir apabila mendapat tahu rumah diduduki mereka telah dilelong.
Sulaiman Khairi, 48, yang tinggal di Taman Banting Baru terkejut apabila mendapat tahu statusnya telah bankrap oleh Jabatan Insolvensi pada November 2014 atas dakwaan menjadi penjamin seorang penama yang telah membeli sebuah rumah sekitar 2001.
Menurutnya, pembeli rumah tersebut tidak mampu membayar ansuran bulanan rumah dan pihak bank telah melelong rumah tersebut tanpa pengetahuannya selaku penjamin ke atas pembelian tersebut.
“Saya langsung tak dapat sebarang surat atau panggilan telefon dari bank. Sepatutnya pihak bank perlu hubungi atau kesan saya sama ada saya bersedia mengambil alih rumah tersebut atau terus melangsaikan hutang bank yang tertunggak.
“Masalah ni telah saya adukan kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di pejabatnya dan Rafizi sendiri telah bagi surat kepada bank tersebut dan salinan surat kepada Jabatan Insolvensi pada awal 2015 memaklumkan status sebenar, namun masih tiada jawapan,“ katanya ketika ditemui di rumahnya, di Banting Baru, semalam.
Sulaiman ditemani ibunya sedih apabila memikirkan ke mana mereka akan tinggal selepas ini selepas beberapa kali didatangi pihak yang menyuruh mereka sekeluarga keluar dari rumah itu yang didakwa telah dijual.
Katanya, dia yang pernah memanjangkan masalahnya kepada Persatuan Pengguna Malaysia juga masih tidak mendapat sebarang jawapan selain turut memaklumkan kesemua akaun banknya telah dibekukan pada Julai 2015 dan lebih malang lagi, akaun untuk pembayaran rumah kediamannya untuk sebuah bank lagi turut dibekukan.
“Saya tak boleh lakukan sebarang bayaran dan pada awal 2016, saya dapat surat sebuah firma guaman yang menyatakan rumah yang saya duduk ni akan dilelong.
“Macam-macamlah cadangan firma guaman tu termasuklah tawarkan saya menyelamatkan rumah tersebut supaya tidak terlepas ke tangan orang lain,“ katanya.
Sementara itu, ibunya, Norliah Hussin, 78, berkata, dia sedih kerana itulah satu-satunya tempat tinggal dia bersama empat anaknya.
“Kalau dapat surat dari bank pasti makcik pun tahu, ni tak dapat satu surat pun.
“Tiba-tiba dapat surat lelong dan ada lelaki datang suruh kami keluar dari rumah.. Ni pun katanya bagi tempoh sampai Rabu depan.. Mana makcik nak tinggal lepas ni?,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2016-08-01 11:28:18 daripada Administrator