Komited dukung usaha pertanian
(23 Oktober 2016 )
MORIB - Kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan dasar kegunaan tanah-tanah baru milik kerajaan di bawah program Ladang Smart Selangor dan Kebun Rakyat bagi tujuan pertanian dan penggunaan teknologi moden.
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata, pihaknya mengharapkan pemilihan jenis tanaman yang boleh hasilkan jenis pulangan tinggi.
“Usaha ini telah berjaya melahirkan usahawan muda dan secara tidak langsung galakan kepada petani muda fertigasi untuk aktif.
“Program ini juga dapat menjimatkan kos dengan pulangan hasil yang lumayan,” katanya ketika merasmikan Profram Selangor Agrofest di Pantai Morib semalam.
Azmin berkata, beliau bangga dengan pencapaian beberapa usahawan tani muda yang telah maju selain mempunyai sistem penawaran dan pengeluaran atas talian terbaik.
Katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM30.65 juta bagi 2016 untuk mempersiapkan lagi sektor pertanian di Selangor
“Bagi 2017 kita masih lagi berbincang dan merangka Belanjawan 2017 dan akan dibentangkan pada Isnin ini.
“Setelah meneliti serta menghadapi bajet persekutuan saya yakin dan percaya kerajaan negeri akan membentangkan belanjawan jauh lebih baik untuk memartabatkan rakyat Selangor,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga komited untuk mendukung usaha dalam pertanian sebagai ekonomi dan pemaju ke arah kuasa ekonomi serantau.
Beliau yang turut melawat pameran dan jualan disertai pelbagai latar belakang usahawan di Selangor berharap mereka akan terus berjaya meningkatkan ekonomi keluarga, negeri dan negara.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian dan Industri Tani, Zaidy Abdul Talib
Zaidy berkata, kali ini Program Selangor Agrofest mengikut tema ‘SmartAgro @ SmartSelangor di mana pada tahun ini lebih memberikan tumpuan kepada teknologi moden dalam sektor pertanian.
Katanya, dalam masa sama program tahunan ini sebagai usaha meraikan kejayaan dan menghargai jasa petani, penternak dan nelayan Selangor.
Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2016-10-27 10:04:56 daripada Administrator