24 OKTOBER 2016
KUALA LANGAT - Pencemaran bau yang berlaku sekali lagi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih memberi impak kepada penduduk di Kuala Langat. Kebanyakan penduduk yang ditemui semalam kesal dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai sehingga menjejaskan aktiviti penduduk.
Seorang penduduk dari Telok Panglima Garang, Hamzah Jaafar, 30, berkata, dia langsung tidak sempat menyimpan air semalam dan tidak perasan air tiada seawal jam 9 pagi.
Menurutnya, dia yang mempunyai dua orang anak kecil berumur dua hingga lima tahun kesal dengan keadaan itu kerana berlaku dua kali dalam sebulan. “Saya tak anggap isu ini sebagai isu kecil tetapi menjadi isu besar hari ini kerana melibatkan kemudahan harian penduduk.
“Saya harap sangat kerajaan negeri atau persekutuan ni bekerjasama banteras masalah gangguan air ni supaya tak ada pengusaha kilang atau pihak tak bertanggungjawab menyalurkan sisa toksik sesuka hati," katanya. Bagi seorang pekerja swasta, Rosdi Aan, 43, berkata, dia terkejut apabila dihubungi anaknya memaklumkan air tiada.
Katanya, dia yang baharu sahaja pulang dari kerja pelik kerana tiada makluman awal diberikan kepada penduduk.
“Tapi mujur saya masih simpan air dalam tong-tong yang ada ekoran gangguan air sebelum ini.
"Cuma tak tahulah tangki air yang ada tu boleh menampung penggunaan air kami sekeluarga sampai bila," katanya.
Rosdi turut menggesa kepimpinan pusat atau negeri beri kerjasama mengatasi masalah ini.
“Kalau sabotaj sekalipun, jangan sampai menganiaya penduduk.. paling penting jika mereka (kerajaan negeri dan persekutuan) tak menuding jari antara satu sama lain. "Cuba duduk semeja dan bincang semula supaya tindakan tegas diambil," katanya.
Tak perlu jadi hero
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pahlawan, Ahmad Zaidi Shamsudin, 42 berkata, isu air bukanlah satu perkara boleh diambil mudah kerana ia melibatkan penggunaan seharian manusia.
Katanya, jika benar ada pihak melakukan kesalahan menyalurkan sisa toksik, pantaulah mereka dan bukannya dibiarkan. “Lebih elok semua pihak bekerjasama. Tak perlu nak jadi hero kerana takkan selesaikan masalah, akhirnya penduduk juga yang jadi mangsa," katanya.
Dalam perkembangan sama, Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kawasan Sijangkang dan taman-taman di hadapan Kampung Sijangkang tidak terkesan kerana sumber air dari Tangki Lipat Kajang, Klang.
Bagaimanapun, kawasan lain di Dun Sijangkang termasuk Taman Pahlawan dan Taman Dato Hormat sangat terkesan kerana sumber air dari LRA Sungai Semenyih.
“Bila keadaan tercemar sekali lagi, saya kesal sangat dan amat malang bagi penduduk.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang mencemarkan sumber air perlu diambil tindakan dan kerajaan negeri akan terus memburu golongan itu untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2016-10-27 10:25:39 daripada Administrator