Siapa lagi nak jaga dia
11 NOV 2016
LABOHAN DAGANG - Terpaksa makan ubat sepanjang hayat. Begitulah nasib seorang pesakit genetik yang kini hanya mampu terlantar selepas diserang sawan pada tahun lalu.
Jumaadi Osnom, 33, kini dijaga kakaknya, Aslina, 37, yang menguruskan segala keperluannya selain memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat anak.
Aslina berkata, Jumaadi yang dahulunya seorang yang sangat aktif kini mendapatkan rawatan susulan di Hospital Banting.
“Dulu adik suka sangat pergi memancing dan masa kecil pun kami tak nampak apa-apa masalah yang dia alami, sehinggalah doktor sahkan dia sebenarnya mempunyai masalah genetik.
“Dan setahun lalu, dia kena sawan...sekarang dia terlantar sajalah, paling tak pun dia hanya mampu duduk. Saya yang terpaksa uruskan dia dari nak makan sampailah nak tukar lampin pakai buangnya,” katanya.
Menurutnya, sejak kematian ibunya akibat kencing manis, Jumaadi tinggal berdua bersama bapanya, Osnom Sukir, 67,
“Sekarang bila dia sakit, saya terpaksa pindah dan tinggal di sini.
“Mujur suami dan anak-anak saya faham, Jumaadi satu-satunya adik saya...kalau bukan saya, siapa lagi yang nak jaga dia?,” katanya.
Dia berkata, buat masa ini suaminyalah yang menanggung keluarga dengan pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan.
“Perbelanjaan Jumaadi pun dalam sebulan kami akan peruntukkan sebanyak RM500, itu pun tak termasuk lampin pakai buang dan makan minum dia.
“Tapi Alhamdulillah, Lembaga Zakat ada bantuan perubatan dan sebagainya...jadi sedikit sebanyak bantu tampung perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya ketika menerima kunjungan wakil Lembaga Zakat di kediamannya di Labohan Dagang.
Sementara itu, Osnom berkata, sebagai bapa dia reda dengan nasib yang menimpa anaknya itu.
"Pakcik hanya mampu berdoa, semoga kesihatan Jumaadi kembali pulih. Pakcik juga harap agar diberi kekuatan untuk jaga dia, maklumlah umur pun dah tua, dah tak larat sangat nak buat apa pun," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN ONLINE
Kemaskini pada 2016-11-15 09:52:45 daripada Administrator