Pengarah Urusan Gold Coast Morib Resort, Datuk Dr Alex Tan (empat, kiri) bersama artis dan penganjur yang bakal menggegarkan Mini Konsert Eksklusif Di Ambang Kembali Terjalin 2017.
18 Nov 2016
MORIB - Mini Konsert Eksklusif Kembali Terjalin Di Ambang 2017 bakal menyaksikan peminat Zamani (Slam), Sara Mentor dan Band Satira berkumpul di Gold Coast Morib pada 31 Disember sempena malam Tahun Baharu 2017 nanti.
Penganjur Mini Konsert Eksklusif Kembali Terjalin di Ambang 2017, So Ap Jemari berkata, pihaknya menyasarkan lebih 2,000 peminat bakal menyaksikan persembahan kesemua artis terkenal selain pelbagai acara disediakan di sepanjang sambutan tahun baharu nanti.
“Kami mengenakan bayaran tiket hanya RM55 seorang untuk menyaksikan konsert tersebut.
“Program yang julung kalinya diadakan di Gold Coast Morib itu juga bakal memperdengarkan Zamani Slam mendendangkan tujuh lagu hit selain diharapkan dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk mendekati artis kesayangan mereka selain dapat beramah mesra," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Gold Coast Morib, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Gold Coast Morib Resort, Andy Chong berkata, beliau berhasrat menjadikan konsert ini sebagai platform untuk menyokong artis tempatan.
Katanya, walaupun konsert membabitkan artis terkenal tempatan ini pertama kali diadakan, namun mendapat perhatian pelbagai pihak apabila sambutan yang diberikan pada sidang media semalam turut mendapat sokongan.
“Saya nak tengok program seumpama ini dapat menarik minat pengunjung selain menerima ribuan pelanggan untuk menginap di Gold Coast Morib dengan potongan harga terbaik. Kami juga berhasrat menarik minat pelancong tidak kira bangsa selain memanfaatkan segala kemudahan yang ada di Gold Coast Morib Resort," katanya.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik lain akan diadakan termasuk silap mata, busker, gerai jualan makanan dan cenderahati, mengira detik ambang Tahun Baharu 2017 dan pertunjukan bunga api.
Selain itu, tiket boleh dibeli di talian 017-2514282 atau Facebook Mini Konsert Eksklusif Kembali Terjalin Zamani Slam untuk keterangan lanjut.
* Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2016-12-14 14:58:47 daripada Administrator