Tengku Mohamed (tiga, kiri) memerhati Siti Zubaidah (kanan) yang sedang beramah mesra dengan penerima
1 Disember 2016
Program Bantuan Agihan Pendidikan Asnaf Fakir Miskin Daerah Kuala Langat semalam.
KUALA LANGAT - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan sebanyak RM600,525 kepada 1,794 keluarga asnaf fakir miskin bagi bantuan pendidikan sesi persekolahan 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali berkata, jumlah berkenaan merangkumi agihan sebanyak RM220,225 kepada 628 keluarga asnaf fakir dan RM380,300 kepada 1,166 keluarga asnaf miskin di daerah ini.
Menurutnya, ia bertujuan meringankan beban kewangan keluarga asnaf bagi persediaan kelengkapan dan yuran persekolahan anak-anak bagi tahun hadapan.
“Agihan tahun ini melibatkan bantuan yuran kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin sebanyak RM75 seorang di peringkat pra sekolah sehingga ke peringkat menengah.
“Bantuan disalurkan sama ada secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun ketua keluarga,” katanya sempena Program Bantuan Agihan Pendidikan Asnaf Fakir Miskin Daerah Kuala Langat di Masjid Al Islah, Kampung Sawah, semalam.
Hussin berkata, bagi bantuan kelengkapan persekolahan, setiap anak asnaf fakir dan miskin menerima RM75, manakala RM170 untuk pelajar sekolah rendah kebangsaan, RM150 untuk pelajar sekolah rendah agama serta RM200 bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan,” katanya.
Hadir sama, Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun dan Timbalan Pengurus Besar Perhubungan Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Siti Zubaidah Abdul Jabar.
Sementara itu, dalam majlis sama PKNS turut menyerahkan wang zakat berjumlah RM833,375 sebagai bantuan pendidikan kepada anak-anak fakir dan miskin tersebut.
Siti Zubaidah berkata, peruntukan itu sebahagian zakat perniagaan yang ditunaikan PKNS pada tahun ini untuk dimanfaatkan golongan berkenaan di negeri ini.
Dalam pada itu, seorang ibu, Nasliza Mohd Kosni, 43, dari Batu 9, Kebun Baharu berkata, dia terpaksa menjual nasi lemak untuk menyara tujuh anaknya yang masih kecil.
“Suami saya bekerja sendiri jadi gaji pun memang tak seberapa...dengan adanya bantuan pendidikan untuk dua anak yang berumur sembilan dan 11 tahun itu sedikit sebanyak ringankan beban kami,” katanya.
* Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2016-12-14 15:03:43 daripada Administrator