‘Tak patut buat masa cuti sekolah’
Suhaiza terpaksa ulang alik mengangkut air ke rumahnya apabila suaminya bekerja.
21 Disember 2016
SIJANGKANG - “Tak ada ke hari lain nak buat kerja-kerja pembaikan ni..sebab budak-budak tengah cuti sekolah jadi keperluan air ni memang sangat diperlukan,”.
Demikian luahan beberapa keluarga di Taman Sijangkang Permai, Sijangkang apabila menceritakan kepayahan ketiadaan air sejak kelmarin.
Tinjauan Sinar Harian ke beberapa rumah penduduk awal pagi semalam mendapati, kebanyakan suri rumah terpaksa mencatu air bagi kegunaan harian anak-anak yang masih kecil.
Malah terdapat keluarga yang langsung tidak dapat menadah air disebabkan tekanan air rendah dan berdepan dengan pelbagai masalah tangki simpanan air.
Seorang suri rumah, Suhaiza Zakaria, 36, berkata, dia mempunyai empat anak kecil berusia dua hingga 10 tahun dan kesemuanya berada di rumah.
Menurutnya, buat masa ini dia hanya menadah dua tong air bagi keperluan memasak dan sebuah tong lagi untuk mandi.
“Saya fikir gangguan air ni tak sepatutnya berlaku pada musim cuti sekolah sebab anak-anak bila kat rumah macam-macam mereka hendak buat termasuk makan dan minum.
“Belum lagi bab tukar lampin anak.. setakat anak sorang dua mungkin boleh lagi, tapi bila anak ramai, air memang kena sentiasa ada,” katanya yang baru sahaja menyewa di taman berkenaan sejak tujuh bulan lalu.
Sebelum ini katanya, dia pernah menetap di Kampung Melayu Subang dan berhijrah ke Jengka 12, Pahang dan kawasan itu tidak pernah berdepan gangguan air yang teruk.
“Saya peliklah tekanan air kat sini memang sentiasa rendah dan ditambah dengan macam-macam gangguan air disebabkan pelbagai perkara..susahlah kalau kerap sangat jadi macam ni.
“Bagi saya, saya tak menolak segala kemudahan pembaikan tetapi biarlah ia dilakukan mengikut masa yang sesuai bukan waktu cuti sekolah,” katanya.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana rumahnya mempunyai tangki air statik yang memudahnya mengambil air, namun apabila suaminya bekerja dia terpaksa mengangkut air berkali-kali disebabkan anak masih kecil.
Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-01-05 11:37:39 daripada Administrator