Bimbang harga naik mendadak
6 Januari 2017 TELOK PANGLIMA GARANG - 'Mungkin nelayan sukar nak ke laut cari ikan sebab sekarang kan musim tengkujuh, petani pula berdepan dengan masalah pertanian rosak...boleh jadi ini berlaku'.
Demikian kata seorang pengunjung pasar awam di daerah ini berhubung kenaikan harga ikan dan sayur-sayuran yang terpaksa dihadapi rakyat kini.
Samsiah Manaf, 57, dari Kampung Medan berkata, dia tidak merasakan kenaikan harga itu disebabkan sikap pembekal peniaga yang ingin mengaut keuntungan semata-mata.
“Peniaga takkan naikkan harga tanpa sebab. Saya juga rasakan kenaikan harga minyak turut jadi faktor harga naik, tapi kalau harga sayur ni tak rasa sangatlah beza mendadak..ada juga turun naiknya.
“Sebagai pelanggan saya bimbang juga, takut situasi ni menjadikan harga naik tak masuk akal,” katanya.
Rakannya, Misriah Hassan, 62, dia faham akan keadaan cuaca yang berlaku namun bimbang juga jika harga meningkat terlalu mendadak.
“Makcik akuilah, beli ikan selar ke ikan kembung ke.. mesti harga kadang-kadang naik dan turun tapi bila fikir sebab musim hujan ni, makcik kena fikir juga nelayan dan petani..kasihan juga kat mereka.
“Tapi kalau lepas ni harga barang masih lagi meningkat, makcik harap ada pantauan daripada pihak berwajib,” katanya.
Bagi suri rumah, Puziah Hamzah, 59, dari Telok Panglima Garang, pula berkata, dia antara pengunjung pasar awam yang terasa dengan kenaikan harga barang.
“Sekarang ni kalau bawa RM80 mana nak cukup, agak-agak boleh dapat tiga barang saja. Cerita bab ikan ni, kalau dulu sekilogram boleh dapat RM7 je...sekarang harga naik sampai RM5.
“Bagi akak kalau nak naik tu berpada-padalah..jangan terlalu tinggi, cukup kalau beberapa sen saja,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-01-13 14:59:44 daripada Administrator