Lapan buah deretan kedai terbakar
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Pekan Banting. – Foto Sinar Harian
7 Jan 2017, BANTING - Sebuah restoran makanan antara lapan buah deretan kedai yang turut terbakar di Pekan Banting dalam kejadian awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, menyebabkan orang awam yang melalui kawasan itu turut panik apabila difahamkan terdapat bunyi letupan kuat turut kedengaran.
Seorang saksi, Ting Shong Sung,64, berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang membuka kedai di hadapan bangunan yang terbakar.
Menurutnya, dia yang mengusahakan peniagaan jual motosikal sejak 30 tahun lalu memberitahu api merebak cepat sehingga menyebabkan tujuh buah lagi kedai turut terbakar.
"Kesemua kedai memang kedai papan dan disebabkan itu juga api senang merebak, masa tu saya nampak api bermula dari arah restoran makan tapi tak pastilah punca.
"Saya pun terus panggil isteri suruh telefon peronda, bila peronda polis datang baharu bomba pun sampai padamkan api," katanya yang mengakui deretan kedai di kawasan itu sudah lama.
Pengusaha kedai makan, Hoo Kong Ming, 59,ketika kejadian dia berada di rumah dan mendapat panggilan anaknya memberitahu kedai makan miliknya sedang terbakar.
Katanya, mujur anak-anaknya sempat menyelamatkan diri kerana kebetulan mereka sedang tidur di kedai.
"Tapi bila api marak cepat, kedaipun terbakar saya sedihlah sebab banyak barang dalam kedai musnah termasuk bahan mentah seperti ikan, ayam dan sebagainya.
"Saya fikir kalau tindakan pemadaman dapat dilakukan dengan cepat sudah pasti kedai kami dapat diselamatkan,"katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-01-13 15:01:42 daripada Administrator