Bas Smart Selangor semakin dapat sambutan
Bas Smart Selangor di Daerah Kuala Langat mendapat sambutan menggalakkan
19 Jan 2017 BANTING - Kemudahan pengangkutan awam yang semakin baik di daerah Kuala Langat menzahirkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam menjayakan usaha kerajaan negeri.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, MDKL di bawah Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam sentiasa memantau sambutan serta mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor agar sentiasa berada dalam kondisi baik.
“Perkhidmatan bas percuma Smart Selangor di daerah ini yang mula beroperasi sejak Mei 2016 ternyata semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
"Bermula dengan 1,926 penumpang ketika mula beroperasi, jumlah tersebut meningkat pada setiap bulan. Laporan menunjukkan trend peningkatan dan untuk Disember 2016 sahaja, bilangan penumpang mencecah 24,782," katanya.
Mohd Azhar berkata, peningkatan paling ketara adalah pada Oktober hingga November 2016 yang mana peningkatan berjumlah 13,306 penumpang.
Katanya, sambutan amat menggalakkan ini jelas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan penumpang terhadap mutu perkhidmatan selain keyakinan penumpang terhadap idea serta perkhidmatan ditawarkan.
“Saya harap penduduk di daerah ini dapat menggunakan perkhidmatan bas percuma ini sebaiknya,” katanya.
* Sumber :- Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-01-23 10:55:56 daripada Administrator