Laluan baharu perkhidmatan bas Smart Selangor
Azmin sempat beramah mesra dengan sebahagian penumpang Bas Percuma Smart Selangor yang baru sahaja menggunakan perkhidmatan bas itu.
3 Feb 2017 : BANTING - Penduduk di Daerah Kuala Langat bakal menerima satu lagi laluan baharu perkhidmatan Bas Smart Selangor percuma pada tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin berkata, beliau mengumumkan perkhidmatan sebuah lagi bas bakal beroperasi di laluan baharu di daerah itu bagi memberi keselesaan kepada penduduk.
Menurutnya, buat masa ini perkhidmatan bas percuma itu hanya melalui kawasan pergi dan balik dari arah Pekan Banting ke ERL Salak Tinggi, Sepang.
"Selepas ini kita akan mencari laluan yang bersesuaian bagi kegunaan penduduk di sini apabila difahamkan permintaan Bas Smart Selangor kini semakin meningkat.
"Permintaan terhadap perkhidmatan Bas Smart Selangor ini tidak pernah berkurang sebaliknya telah bertambah dari sehari ke sehari selain pada tahun 2017 meningkatkan peruntukan Bas Smart Selangor kepada dua kali ganda iaitu daripada RM10 juta kepada RM20 juta," katanya dalam Pelancaran Bas Smart Selangor sempena Program Turun Padang ke Daerah Kuala Langat semalam.
Perkhidmatan Bas Smart Selangor di Daerah Kuala Langat yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu bagi jajaran bermula Pekan Banting ke Stesen ERL di Salak Tinggi dengan kos sebanyak RM625,400 setahun itu menunjukkan peningkatan.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-02-13 15:50:29 daripada Administrator