Semua permohonan pemilikan tanah diluluskan
Azmin menyampaikan surat Notis 5A: Kawasan Tanah Revolusi Hijau Sungai Lang, di Dewan Harmoni Sungai Lang Tengah kepada salah seorang penerima Siti Hairani Samuri, 71.
3 Feb 2017 : KUALA LANGAT - Kerajaan negeri meluluskan kesemua permohonan pemilikan tanah kawasan Rancangan Tanah Revolusi Hijau, Sungai Lang, Kuala Langat, selepas mengusahakan tanah pertanian tersebut lebih 40 tahun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau menegaskan 38 pemilik kekal ke atas tanah tersebut digesa tidak menjual tanah mereka tetapi berusaha memanfaatkan tanah berkenaan untuk menyara keluarga.
Menurutnya, isu penerokaan tanah ini sebenarnya begitu meluas dan sudah berpuluh - puluh tahun berlaku tetapi malangnya tiada satu usaha untuk selesaikan isu ini.
"Contoh di sini mereka hanya diberikan lesen pendudukan sementara (LPS) namun setelah 40 tahun dan sudah memasuki generasi kedua masih lagi tak dapat hak milik.
"Keadaan ini memaksa kerajaan negeri bertanggungjawab membantu peneroka asal yang telah meneroka tanah pertanian ini untuk dipertimbangkan,"katanya selepas Penyampaian Notis 5A: Kawasan Tanah Revolusi Hijau Sungai Lang, di Dewan Harmoni Sungai Lang Tengah, hari ini.
Azmin menambah, beliau faham, jika pihaknya beri notis 5A pun kepada pemilik tanah, tanah di Selangor tidak mungkin boleh dimiliki.
Tetapi dengan inisiatif kerajaan negeri melihat bantuan yang boleh diberikan, dengan cara supaya premium yang diberikan dapat dikurangkan, supaya peneroka mampu membayarnya.
"Hanya kena bayar RM 1000 sahaja dengan syarat mereka tidak menjual tanah tetapi mereka perlu bangunkan untuk keluarga peneroka dan generasi akan datang.
"Sekiranya mereka jual, barulah kerajaan boleh kenakan cukai di atas penjualan tanah tersebut,"katanya yang tidak mahu melihat tanah -tanah di Negeri Selangor diberikan kepada "tauke tauke" besar.
Mengulas mengenai terdapat negeri lain yang sukar hendak beri kelulusan tanah, beliau mengakui terdapat negeri yang susah hendak bagi kelulusan tetapi dalam pentadbiran Selangor tidak berlaku.
Katanya,jika pihaknya menerima permohonan rakyat, pihaknya segera duduk berbincang dan luluskan.
"Kalau mohon padang golf di Selangor, kita akan terus batalkan...," katanya.
*Sember : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-02-13 15:55:40 daripada Administrator