Pencarum, waris diminta tak guna orang tengah
Sulaiman menyampaikan faedah Perkeso kepada waris keluarga yang terlibat dalam kemalangan sambil diperhatikan oleh Zainol Abu.
7 Feb 2017 : KUALA LANGAT - Pencarum dan waris mereka diminta tidak menggunakan orang tengah dalam membuat sebarang tuntutan faedah dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika terbabit kemalangan ketika pergi atau pulang dari tempat kerja.
Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Zainol Abu berkata, pihaknya menerima aduan awam termasuk dalam laman sosial Facebook mengenai khidmat orang perantaraan yang seolah-olah boleh mendapatkan wang faedah dengan cepat.
"Kita tidak melantik mana - mana ejen menguruskan hal berkaitan tuntutan, malah tidak menjadi halangan sekiranya pekerja atau waris ingin berjumpa terus dengan pengurus di semua 50 pejabat cawangan kita di Malaysia.
"Mereka ni mengambil kesempatan dengan mengiklankan pelbagai bentuk hebahan selain mengaut keuntungan lebih dan ianya akan merugikan mangsa,"katanya kepada Sinar Harian ketika menyampaikan faedah Perkeso kepada waris keluarga yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Pulau Indah pada 30 Januari 2017 lalu.
Pasangan suami isteri terbabit, seorang kakitangan sebuah kilang di Telok Panglima Garang, P. Maniveloo,47, dan isteri S.Malathi, 42, maut di tempat kejadian selepas dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan selepas menghantar anak lelaki mereka ke tempat kerja di Pulau Indah.
Pasangan berkenaan meninggalkan dua orang anak, M.Manisangaran, 19, dan M.Maniprsanthini, 17 yang kini tinggal bersama neneknya, K.Krishnammah, 68 di rumah mangsa.
Zainol berkata, pihaknya menerima maklumat menerusi media massa dan aplikasi WhatsApp dan memaklumkan waris layak menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM 1500 dan Pencen Penakat berjumlah RM 1294.20sebulan sehingga berumur 21 tahun.
Katanya, jika waris ingin melanjutkan pendidikan di peringkat universiti pula mereka juga layak memohon pinjaman Perkeso untuk membiayai pendidikan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Luar Bandar Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, beliau menasihatkan majikan perlu prihatin mencarum kepada Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menjamin kehidupan golongan itu pada masa akan datang.
Tambahnya, masih terdapat majikan yang belum mendaftar dan mencarum pekerja dengan Perkeso dan memandang serius perkara itu kerana membabitkan kebajikan serta jaminan pekerja sekiranya sesuatu perkara buruk menimpa mereka.
"Sebagai pemimpin kita tak nak dengar bila berlaku kemalangan ianya menjadi beban kepada pekerja dan bagi saya jangan anggap hal ini sebagai paksaan tetapi sebagai sumbangan sosial,"katanya.
Hadir sama, Pengurus Perkeso Cawangan Klang, Zainal Ismail.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-02-13 15:59:01 daripada Administrator