Tak perlu letak gambar Adun
Noh ketika mengadakan lawatan ke SK Kebun Baru, semalam
11 Feb 2017 : KEBUN BAHARU - Tindakan wakil rakyat yang memberi sumbangan kerusi dan meja di sekolah di Dun Sijangkang dengan tertera gambar wakil rakyat berkenaan dilihat tidak kena tempat.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sumbangan perlu ikhlas dan bukan menjadikan sekolah sebagai tempat berkempen dengan meletakkan gambar.
“Saya lihat sumbangan itu seolah-olah hendak berkempen dan mengapa diletakkan gambar di meja berkenaan? Apalah salah terus bagi kepada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru ataupun hanya memaklumkan sumbangan, Adun tak payahlah letak gambar.
“Masalahnya kemudahan itu sudah dihantar dan sekiranya hendak tolong, bantulah dengan ikhlas dan bukannya letak gambar di meja-meja berkenaan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kebun Baru, semalam.
Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, kerajaan negeri tidak membenarkan wakil rakyat dalam kalangan kerajaan persekutuan untuk memasuki sekolah agama.
Ujanya, beliau dan kebanyakan pemimpin kerajaan sukar memasuki sekolah, namun jika ada permohonan bantuan pihaknya masih disalurkan.
Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Luar Bandar Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, sebanyak 50 set kerusi meja dihantar ke sekolah itu oleh kerajaan persekutuan bagi menggantikan kerusi meja yang tertera gambar wakil rakyat berkenaan, semalam.
Beliau mengakui kemudahan kerusi dan meja di sekolah berkenaan sudah uzur dan kemudahan itu diharap dapat membantu meringankan beban pihak sekolah.
Sementara itu, Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau tiada masalah sekiranya meja dan kerusi yang disumbangkan ke sekolah berkenaan terpaksa dikeluarkan.
“Saya anggap tindakan itu tak profesional, cumanya saya nak bantu pelajar dapat kemudahan yang selesa.
“Saya difahamkan selain SK Kebun Baru, SK Sijangkang turut diarah keluarkan kerusi dan meja yang disumbangkan,” katanya.
Ahmad Yunus memaklumkan pihaknya menerima permohonan dari dua sekolah di Dun terbabit yang memaklumkan memerlukan kemudahan tersebut, sekali gus menghantar sumbangan itu segera.
Katanya, jika kemudahan itu tidak diperlukan atau tidak mahu digunakan, pihak sekolah boleh memulangkannya dan beliau bersedia menerima semula untuk diagihkan kepada pihak yang lebih memerlukan.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-02-13 16:00:48 daripada Administrator