Usaha ubah hidup keluarga
Norma bersama enam anaknya yang tinggal sementara di Dewan Serbaguna Kampung Olak Lempit memohon simpati orang ramai untuk menyewakannya rumah dengan harga berpatutan.
25 Feb 2017 - OLAK LEMPIT - Ibu kepada enam anak yang masih tinggal sementara di Dewan Serbaguna Kampung Olak Lempit sejak lima hari lalu, diminta berusaha mengubah kehidupan kepada lebih baik selepas menerima pelbagai bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat.Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berkata, beliau dimaklumkan keluarga terbabit dijumpai orang kampung pada waktu Maghrib di sebuah stesen bas sebelum ditawarkan tinggal sementara di dewan berkenaan.Menurutnya, beliau memohon ibu kepada enam anak itu dapat berusaha mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan kehidupan yang lebih selesa.
“Saya fikir kalau ada masalah bayar sewa, mustahil.. sebab pihak zakat boleh membantu, tapi dalam soal ini sikap kebergantungan itu perlu dihapuskan.“Keluarga berkenaan diharap dapat cari rumah sewa yang mampu dibayar dan tidak hanya harapkan bantuan orang ramai atau individu semata-mata kerana masih mempunyai anak kecil,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai status sebuah keluarga yang menumpang sementara di dewan berkenaan.
Shahrum ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya juga peka dengan keadaan keluarga terbabit selain menghulurkan keperluan makanan segera.“Tindakan masyarakat terutama pemimpin kampung dan individu yang menghulurkan bantuan sehingga semalam perlu dipuji, namun jika keluarga terbabit tak mahu keluar dari kepompong kemiskinan susahlah.
“Kita tak nak dengar pemohon ada masalah dari segi bantuan sedangkan pelbagai bantuan dah salurkan.. cumanya ibu kepada anak-anak itu perlu mencari kerja yang sesuai untuk bantu keluarga,” katanya.Sementara itu, ibu kepada enam anak itu, Norma Jusoh, 37, berkata, dia terpaksa keluar dari rumah sewa akibat berselisihan faham dengan penyewa dan mengambil keputusan untuk keluar bersama anak-anak tanpa hala tuju.Norma yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, dia memerlukan rumah sewa luar dari daerah ini kerana mahu meneruskan kehidupan dan di kelilingi orang baharu supaya dapat melupakan masalahnya sebelum ini.
Menurutnya yang sudah menetap di Selangor, sebelum ini lima anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manggis dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting, namun terpaksa berhenti sementara akibat masalah pengangkutan selepas berdepan masalah tempat tinggal.“Awal tahun ini anak-anak ke sekolah pun guna perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor, tapi selepas berdepan masalah ni mereka tak pergi sekolah.
“Buat masa ini memang saya tinggal di dewan ni dan terima pelbagai bantuan untuk menyara anak-anak berumur sebulan hingga 16 tahun selepas ditinggalkan suami.“Saya sebenarnya ada usaha cari rumah sewa dan ada juga kenalan yang kata nak bagi rumah sewa tapi tak tahulah,” katanya.
Norma yang pernah bekerja sebagai pembantu chef di sebuah hotel di Cherating berkata, dia berjanji meneruskan kehidupan yang lebih baik dan bekerja untuk menyara anaknya.Bagaimanapun, buat masa ini dia belum menerima sebarang tawaran rumah sewa dan terpaksa tinggal di situ.Tinjauan Sinar Harian mendapati pelbagai pihak termasuk individu turun padang menghulurkan sumbangan termasuk bantuan makanan kepada keluarga berkenaan.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-03-16 15:09:57 daripada Administrator