Jangan dipanjangkan kisah Pak Akob
Hasnul sempat menziarahi Pak Akob selepas kisahnya tular di laman sosial Facebook.
9 MAc 2017 - MORIB - Pejabat Adun Morib berharap kisah Pak Akob yang tinggal di dalam kebun tidak dipanjangkan lagi selepas melihat beberapa pengguna laman sosial Facebook masih membuat pelbagai andaian yang tidak tepat.
Adun Morib, Hasnul Baharudin berkata, Pak Akob atau nama sebenar Mohd Yaacob Kasan, 57, seorang individu yang normal cumanya dia lebih gemar bersendirian di pondok rehat yang dikaitkan daif itu.
Menurutnya, beliau sempat berjumpa dengan Pak Akob dan bersembang sehinggakan dia sendiri terkejut apabila didatangi pelbagai pihak.
"Saya fikir, memang rakyat Malaysia ini prihatin namun harap sangat selepas ini rujuk kepada pihak atau agensi yang berkaitan sebelum menularkan sesuatu kisah.
"Saya faham niat hendak bantu, tetapi lebih baik dapatkan maklumat lanjut supaya tak wujud kekeliruan seperti ini," katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai Kisah Pak Akob yang disiarkan di Sinar Harian semalam.
Mengulas mengenai tindakan sebagai wakil rakyat kawasan, beliau melihat pelbagai aspek boleh membantu Pak Akob, termasuk membaikpulih pondok yang dipercayai menjadi tempat persinggahan Pak Akob menjadi lebih selesa dengan dilengkapi kemudahan tandas.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-03-16 15:16:25 daripada Administrator