Ajar erti kesederhanaan
10 Jun 2017 - KUALA LANGAT - Masjid Al Hidayah, Telok Panglima Garang memperuntukkan RM1,000 bagi penyediaan makanan berbuka puasa dan moreh setiap hari sepanjang Ramadan.
Nazirnya, Ab Rahman Amir berkata, peruntukan itu diperoleh daripada sumbangan pelbagai pihak termasuk individu perseorangan, agensi atau berkumpulan yang mahu memberikan dana berbentuk wang untuk dimanfaatkan pihak masjid.
“Jadi lepas melihat peruntukan yang diterima, pengurusan masjid bersetuju melantik dua pihak bagi menguruskan penyediaan makanan.
“Alhamdulillah, daripada peruntukan itu kami dapat sediakan makanan berbuka untuk 100 orang, moreh pula dalam 200 orang,” katanya.
Ab Rahman berkata, beliau yang sudah memegang jawatan nazir sejak 2008 itu berkata, walaupun pihak masjid menyediakan makanan, namun ahli kariah masih menyumbangkan pelbagai makanan untuk diagihkan kepada ahli jemaah.
Katanya, pihak masjid tidak menetapkan giliran membawa juadah moreh bergilir-gilir seperti yang dipraktikkan di kawasan lain tetapi sekiranya terdapat masyarakat yang menghulurkan sumbangan, pihak masjid terima dengan tangan terbuka.
“Bila kita peruntukkan RM500 untuk penyediaan makanan berbuka puasa dan RM500 lagi untuk juadah moreh, makanan yang dihidangkan tak pernah membazir.
“Konsep ahli kariah yang datang berbuka puasa di masjid masih ada walaupun kadang-kadang taklah ramai...makanan pun tak pernah membazir dan tak pernah pun ia dibawa ke aktiviti moreh, semua habis masa tu juga.
“Jadi berbuka puasa di masjid ni dapat mengajar kita erti kesederhanaan, selain mengeratkan silaturahim dan dapat mengimarahkan masjid itu sendiri,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-06-13 12:15:09 daripada Administrator