Bawa cawan, pinggan sendiri
Mohamad Zain turut melayan orang ramai mendapatkan makanan.
24 Julai 2017 - BANTING - Inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) meneruskan kempen menggalakkan penggunaan bahan kitar semula melalui penganjuran Jamuan Aidilfitri terus mendapat sambutan positif.
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, ia terbukti apabila 80 peratus orang ramai yang hadir membawa bekas makanan sendiri berbanding tahun lalu hanya 50 peratus.
Menurutnya, makanan tak akan dibazirkan jika membawa bekas makanan sendiri.
“Tapi janganlah kita datang majlis rumah terbuka, kita bungkus untuk makan seisi keluarga pula, kali ni kita lebih tegas, kita minta mereka bawa bekas sendiri tetapi dilarang bawa pinggan polistirena.
“Jika ada yang bawa, kita mohon mereka pergi beli bekas makanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri MDKL di Pekarangan MDKL, baru-bau ini.
Mohamad Zain berkata, langkah itu pihaknya dapat menggalakkan penggunaan bahan kitar semula sekaligus memupuk semangat meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar.
“Saya akan teruskan lagi program ini, usaha ini saya lihat berjaya bila orang ramai sahut seruan itu dengan membawa pinggan dan cawan sendiri,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-07-24 15:30:33 daripada Administrator