‘Rezeki kami memang di sini’
Mohd Amirudin menunjukkan ikan pari seberat 13 kg yang berjaya dinaikkan ketika mencari hasil laut.
23 sept 2017 - KELANANG - Fenomena air pasang besar yang berlaku dilihat tidak langsung menghalang aktiviti nelayan dalam mencari hasil laut.
Tinjauan Sinar Harian ke Jeti Kelanang mendapati nelayan masih menjalankan aktiviti mereka seperti biasa.
Nelayan, Mohd Amirudin 25, berkata, setiap kali air pasang besar, dia tidak menafikan jeti nelayan, atau pantai menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat keadaan air pasang yang luar biasa.
Menurutnya, bagaimanapun nelayan seperti biasa tetap turun ke laut demi mencari rezeki.
“Kalau saya, memang dah biasa ke laut cuma bila keadaan ribut tu bimbang jugalah, tapi kalau nak kata bila fenomena air pasang besar kami tak turun ke laut...tu taklah.
“Rezeki kami memang di sini, kalau rehat...macam mana nak cari makan? Ini pun saya baru tangkap ikan pari...berat 13 kg, Alhamdulillah.
“Sebelum hari yang diuar-uarkan fenomena air pasang besar berlaku tu memang kami ada kat tengah laut, bila sampai ke jeti air memang dah sampai ke tengah jalan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Amirudin berkata, rezeki ikan pari itu sebenarnya tidak tentu masa, ada masa dia berjaya menaikkan ikan pari lebih 50 kilogram seekor, dan kelmarin dia dapat menaikkan ikan pari rimau sebelum dijual kepada peraih.
“Namun itu semua rezeki, ada masa ribut, atau angin kencang di tengah laut pun boleh dapat ikan yang banyak dan besar, tapi ada masa juga tak ada langsung.
“Bagi saya, kalau tanya nelayan fenomena air pasang besar ini sudah biasa cuma kita harapkan janganlah sampai rumah penduduk banjir dinaiki air...sudahlah,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-09-26 14:10:28 daripada Administrator