Masih perlukan RM35,000
Kerja-kerja naik taraf sedang giat dijalankan
5 Okt 2017 - BANTING- Rumah Amal Raudhatul Jannah, Olak Lempit sedang giat mengumpulkan dana bagi membiayai kos baik pulih asrama wanita, membina bilik fail dan membina pejabat pengurusan.
Pengurusnya, Zawalajam Mashod berkata, kos anggaran keseluruhan dianggarkan mencecah RM35,000.
Menurutnya, buat masa ini dana yang terkumpul sehingga 3 Oktober ini adalah sebanyak RM12,550 dan masih memohon sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan urusan pihak pengurusan.
“Bagaimanapun, kami turut berusaha memohon sumbangan sebanyak RM20 untuk satu penyertaan melalui hebahan di laman sosial Facebook kami iaitu “Rumah Amal Raudhatul Jannah” sebagai usaha membantu menyegerakan urusan kami.
“Segala sumbangan amat dihargai. Kalau ada pertanyaan boleh hubungi saya, di talian 010-2318581 atau 6017-3128581. Boleh juga datang sendiri ke Rumah Amal Raudhatul Jannah, Olak Lempit. Tempat kami terletak di belakang stesen minyak Shell dan Ole Futsal,” katanya.
Zawalajam menambah, pihaknya amat mementingkan aspek keselamatan.
"Pihak kami sering meningkatkan peralatan serta mendedahkan kepada anak-anak tentang sesuatu perkara terutama libatkan keselamatan dan dana yang banyak amat diperlukan demi keselesaan dan keselamatan semua.
“Setakat ini pihak kami telah kenal pasti masalah bumbung bocor. Ketika hujan lebat barangan peribadi anak-anak akan terkena hujan. Adakala terkena pada stok barangan kering di dalam stor,” katanya yang bimbang berlaku lintar pintas.
Zawalajam berkata, pada masa kini pihaknya sedang dalam usaha mendapatkan dana untuk tujuan gantian zink dan bakal menambah beberapa peralatan seperti alat pengesan asap dan alat pemadam kebakaran.
*Sumber: Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-10-09 10:19:32 daripada Administrator