Pertahan kerusi Parlimen kali ketiga
Saifuddin (dua,kiri) bersamasebahagian tetamu di Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama P112 Kuala Langat dan Pelancaran Jentera AMK Kuala Langat di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Langat, kelmarin.
10 Okt 2017 - BANTING - Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa ahli Pakatan Harapan di Parlimen Kuala Langat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Langat buat kali ketiga.
Menurutnya, beliau tidak teragak-agak untuk mempromosikan Ahli Parlimen Kuala Langat sebagai calon parlimen.
“Sehebat-hebat pemimpin dalam Pakatan Harapan yang ada, pembelaan hak pekerja adalah kebolehan yang hanya ada pada ahli parlimen sini.
“Saya yakin beliau dapat pertahankan Parlimen Kuala Langat dan tiga lagi Dun menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Bilik Gerakan Utama P112 Kuala Langat dan Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuala Langat di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Langat, kelmarin.
Saifuddin berkata, perancangan awal penting bagi mengekalkan pemerintahan di dua negeri yang diperintah Harapan
“Jika rakyat beri peluang kepada Pakatan Harapan ambil alih Putrajaya, dua negeri ini dapat menjadi contoh yang terbaik bagi meyakinkan rakyat pada masa hadapan, pihaknya lebih baik untuk memerintah.
“Saya menyeru jentera Pakatan Harapan di Kuala Langat terus berkempen memenangi hati rakyat, ajak mereka sertai program dan ambil peluang yang ada,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Malaysia, Dr Afif Bahardin berkata, pelancaran jentera AMK di setiap kawasan di seluruh negara giat dijalankan dan perlu memastikan anak muda terus bersemangat untuk memastikan pilihan raya berpihak kepada Harapan.
“Pada masa ini pun sentimen 67 peratus anak muda kata negara menuju ke arah kegagalan,” katanya ketika ditemui di sini.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-10-12 12:25:25 daripada Administrator