Tokan dadah terjerat di ladang sawit
Azizan (tiga, kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas.
13 Okt 2017 - BANTING - Baru dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada Januari lalu, namun seorang lelaki masih tegar menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
Kegiatan lelaki itu dikesan dalam Ops Sarang dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri, di kawasan ladang kelapa sawit Telok Panglima Garang dan Tanjung Sepat, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, serbuan yang juga mendapat kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman dijalankan seawal jam 2 pagi di dua lokasi 'hotspot'.
Menurutnya, 30 individu berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
"Pemeriksaan kita mendapati seorang daripada yang ditahan merupakan pengedar dadah.
"Semakan rekod terhadap suspek ini mengesahkan dia baru dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada Januari lalu selepas menerima hukuman Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya pada sidang media di IPD Kuala Langat, hari ini.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-10-16 16:07:39 daripada Administrator