Ambil masa sembilan jam keluarkan mayat
Bomba keluarkan mayat pemandu lori yang terperangkap selepas kenderaan terjunam dalam parit, semalam.
15 Okt 2017 - KUALA LANGAT - Pihak berkuasa terpaksa berkampung hampir sembilan jam di lokasi kemalangan untuk keluarkan mayat pemandu lori yang tersepit dalam kenderaan itu.
Pada mulanya mereka menyangka pemandu lori itu melarikan diri selepas kejadian, namun terkejut mendapati mangsa rupa-rupanya berada dalam kenderaan yang remuk teruk serta dipenuhi tanah dan lumpur di dalam parit.
Dalam kemalangan di Kilometer (KM) 11.5 Jalan Banting-Dengkil di sini, semalam, polis terpaksa meminta bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pemandu lori yang dikenali N Saravanan, 47, beralamat di Taman Sri Desa Tongkah, Morib berjaya dibawa keluar dari kenderaan itu kira-kira jam 4.30 petang.
“Kemalangan pada jam 8.15 pagi itu membabitkan lori dan sebuah motosikal yang dipercayai dari arah Banting menghala KLIA.
“Siasatan mendapati lori berkenaan disyaki hilang kawalan sebelum terbabas merempuh motosikal dan terjunam ke dalam parit,” katanya.
Menurutnya, rempuhan itu turut menyebabkan penunggang motosikal, Zairi Mat Pandi, 31, dari Kanchong Darat meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
*Sumber: Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-10-16 16:11:08 daripada Administrator