Masjid, surau sokong titah sultan
17 Okt 2017 - KUALA LANGAT - Jawatankuasa masjid dan surau di Selangor menyokong titah Sultan Selangor supaya semua masjid dan surau dimengehadkan penggunaan pembesar untuk kegunaan dalam bangunan sahaja.
Pengerusi Masjid As Syarif, Telok Datok, Mohd Arif Saring berpendapat, titah itu bertujuan menjamin perasaan tenteram dalam kalangan penduduk di sekitar masjid terutama yang bukan beragama Islam.
"Baginda begitu arif tentang terdapatnya penceramah yang terlalu emosi dalam ceramah mereka sehingga boleh menimbulkan perasaan anti Islam akibat kata-kata yang mencerca serta mencela golongan bukan Islam.
"Saya juga pernah berada dalam beberapa majlis ilmu di beberapa masjid dan memang terdapat kecenderungan penceramah mengeluarkan kata-kata sindiran yang mencela golongan bukan Islam," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Arif, ada juga penceramah yang rasional seolah-olah golongan bukan Islam turut sama dalam majlis itu.
“Jika ini dilakukan oleh semua penceramah maka proses dakwah akan berjalan dengan baik. Peraturan sedia ada tiada masalah, cuma ada pegawai dan ahli jawatankuasa sesebuah masjid yang suka suara penceramah dilepaskan keluar dengan maksud ilmunya boleh sampai kepada golongan Islam yang tak ke masjid,” katanya.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh negeri ini hendaklah dihadkan hanya di dalam bangunan masjid dan surau kecuali untuk laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
[ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan pembesar suara bagi ceramah, kuliah dihadkan]
Titah baginda, larangan ini bertujuan bagi memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
Sementara itu, Masjid As Salam Bukit Sentosa di Hulu Selangor mempraktikkan penggunaan pembesar suara dalam masjid sahaja ketika ceramah atau kuliah sejak awal tahun ini.
Pegawai masjidnya, Muhamad Firdaus Zulkipli berkata, hanya azan dan bacaan al-Quran pada waktu tertentu yang menggunakan pembesar suara luar.
Menurutnya, penggunaan pembesar suara dalaman juga dapat menarik jemaah bersama mendengar ceramah atau kuliah.
“Masjid ini sudah dari awal tahun mempraktikkan cara ini kecuali program besar, kita guna pembesar suara luar kerana ada jemaah atau pengunjung di luar dapat dengar dengan jelas.
“Kami akur demi kebaikan semua pihak,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian online
Kemaskini pada 2017-10-19 10:01:51 daripada Administrator