Kanak-kanak enam tahun hilang ditemui selamat
Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu ditemui semula di kawasan tepi sungai. -Foto Facebook My Kuala Langat
31 Okt 2017- BANTING - Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun Yang didakwa hilang ketika di bawah jagaan neneknya di Taman Yayasan, Sungai Jarom, di sini, bagaimanapun ditemui dalam keadaan selamat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, hari ini, mangsa berada bersama neneknya berusia 71 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, ketika itu nenek kanak-kanak terbabit membantu jirannya membuang kayu yang berada di belakang rumah.
Menurutnya, tidak lama kemudian, nenek kanak-kanak terbabit menyedari cucunya itu telah tiada dan telah berusaha mencarinya di sekeliling rumah dan kawasan perumahan berhampiran.
"Nenek kanak-kanak terbabit kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 3.12 petang berikutan bimbang terjadi perkara yang tidak diingini.
"Susulan laporan itu, kanak-kanak terbabit kemudian telah ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam kira-kira jam 5.30 petang di kawasan tepi sungai" katanya.
Beliau berkata, jarak mangsa ditemui daripada rumah neneknya itu kira-kira 500 meter.
Katanya, pegawai penyiasat telah membawa kanak-kanak terbabit ke Hospital Banting untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-11-01 14:47:34 daripada Administrator