Polis trafik parah langgar lori ais
Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
28 nov 2017 - BANTING - Seorang anggota polis wanita parah selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori ais di Kilometer 33.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi, mangsa Koperal Nik Suhaila Abdullah, 31, daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mengalami patah tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku ketika anggota terbabit bersama rakan sekerjanya sedang menjalankan tugas penguatkuasaan trafik di sekitar Banting.
Menurutnya, ketika tiba di persimpangan Teluk Bunut, sebuah kereta jenis Proton Saga telah memasuki simpang secara melulu dan menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa.
“Anggota (mangsa) gagal mengawal motosikal yang dinaikinya lalu melanggar belakang sebuah lori ais yang diparkir di tepi jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan patah tangan dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, berlaku kerosakan pada motosikal dinaiki anggota terbabit.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
*Sumber : Sinar Harian online
Kemaskini pada 2017-12-06 16:33:19 daripada Administrator