Lega anak terima bantuan
Sulaiman ketika memakaikan beg sekolah kepada salah seorang penerima bantuan Happy 2 School.
16 DIS 2017 - BANTING - ‘Lega sangat bila dapat tahu anak saya dapat bantuan,’ kata seorang bapa yang ditemui pada Program Happy 2 School di SK Sri Langat semalam.
Soo Bun Hock, 59, berkata, pada mulanya dia terpaksa menangguhkan pembelian keperluan pakaian sekolah anak ketiganya, Soo Jia Yee untuk kegunaan lain dahulu.
“Tak sangka pula, bila ada pihak bagi tahu anak ketiga saya dapat bantuan pakaian dan kasut sekolah.
“Program macam ni bagus sebab dapat ringankan beban ibu bapa...lagi-lagi bila berdepan dengan musim persekolahan baru,” katanya kepada Sinar Harian selepas menemani anaknya menerima kelengkapan sekolah pada program yang dianjurkan Kelab Putera 1 Malaysia dan Umno Bahagian Kuala Langat di sini.
Seorang suri rumah, A Kaladevi, 41, berkata, dia mempunyai lima anak berumur 11 hingga 15 tahun dan kesemuanya masih bersekolah.
“Jadi memang musim sekolah buka, memang banyak guna duit.
“Untuk seorang anak saja, saya sediakan RM200,” katanya.
Secara kebetulan anak keempatnya, R Majendra, 12, dimaklumkan pihak Sekolah Kebangsaan Sri Langat menerima bantuan yang sama.
“Sebelum ni saya baru saja selesai beli kelengkapan sekolah untuk tiga anak yang lain...tapi untuk Majendra belum lagi. Jadi saya kira bantuan ni tepat masanya.
“Saya harap bantuan ni diteruskan dan diperluaskan lagi supaya ibu bapa lain yang lebih memerlukan turut berpeluang merasa bantuan sama,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Biro Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Muhammad Yadzan Muhammad; Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli dan Guru Besar SK Sri Langat,Norzian Mond Som.
Sulaiman ketika ditemui memberitahu, sebanyak 1,000 set kelengkapan sekolah termasuk beg, pakaian dan kasut sekolah diagihkan kepada penerima dalam kalangan pelajar sekolah di Daerah Kuala Langat sebagai meringankan beban.
Katanya, bantuan yang disalurkan oleh Kelab Putera 1 Malaysia itu sebagai usaha memberi semangat kepada anak-anak untuk terus belajar selain meringankan beban ibu bapa.
“Saya nampak, kebanyakan ibu bapa masih belum sediakan kelengkapan sekolah anak mereka jadi program hari ini sedikit sebanyak dapat bantu apa yang patut,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-12-19 09:19:19 daripada Administrator