Kami tak ada pilihan
Kamaruzaman bersama isteri dan anak anaknya.
15 DIS 2017 SUNGAI BUAYA - Kisah lima beradik tidur di atas lantai simen yang tular di laman sosial Facebook terus mendapat perhatian masyarakat.
Bapa kepada lima beradik itu, Kamaruzaman Samsudin, 39, berkata, selepas kisah itu menjadi tular dia sekeluarga menerima kunjungan wakil Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda Pas Kuala Langat bertanyakan maklumat mengenai keluarganya untuk proses memberi bantuan.
“Saya tak sangka sampai hari ini dapat perhatian sampai orang awam pun tidak berhenti hulurkan sumbangan terus ke rumah.
“Saya sebenarnya bekerja sendiri ambil upah kutip kelapa sawit...adalah dapat RM900 sebulan. Kalau nak pergi kerja, saya terpaksa tumpang kawan, sebab saya tak ada kenderaan. Kalau dia cuti, saya kena cuti juga,” katanya.
Kamaruzaman berkata, dengan pendapatan itulah, dia menyara lima anak yang berusia satu hingga 12 tahun memandangkan isteri, Rosmayati Abdul Manan tidak bekerja.
“Saya pun tak tahu mampu ke tak beli baju dan barang-barang anak untuk ke sekolah tahun depan. Sebab tu kalau ada pihak yang membantu, saya sangat menghargainya.
“Bukan niat saya nak meminta-minta...tapi keadaan kami memang susah. Kelengkapan rumah macam peti ais, mesin basuh, televisyen pun tak ada sebab tak mampu nak beli,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan tempat tidur anak-anak yang dikatakan tidur beralaskan simen, dia mengakui memang ada menyediakan alas seperti selimut tebal sebelum ini tetapi sudah lusuh.
“Siapa yang tak kasihan tengok anak-anak tidur atas lantai...dengan sejuk, tak selesa. Tapi kami tak ada pilihan,” katanya.
Orang awam turut singgah ke rumah keluarga itu menghulurkan sumbangan selepas kisah mereka tular di laman sosial Facebook.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kuala Langat, Mohd Hanif Jamaludin berkata, Lajnah Kebajikan DPPKL sempat berkongsi kisah hidup keluarga berkenaan di laman sosial Facebook Dewan Pemuda Pas Kuala Langat.
Katanya, pihaknya telah menguar-uarkan permohonan sumbangan orang ramai sama ada melalui DPPKL atau terus kepada keluarga berkenaan.
“Setakat ini, ada individu yang telah bersetuju untuk menyumbang sebuah motosikal dan sedang diuruskan untuk pertukaran nama dan baik pulih bagi memberi kemudahan kepada Kamaruzaman ke tempat kerja atau urusan berkaitan keluarganya,” katanya.
Antara kelengkapan yang diperlukan bagi keluarga ini termasuklah motosikal untuk ke tempat kerja, tikar getah, dan kelengkapan anak-anak Kamaruzaman.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam milik Kamaruzaman Samsudin (12074022310030) atau hubungi Lajnah Kebajikan DPPKL, Nizam Jusoh di talian 019-2758244
Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-12-19 09:25:33 daripada Administrator