Pantai Kelanang perlukan promosi
Hasnul sempat meluangkan masa bersama peniaga mendengar keluhan mereka.
27 Dis 2017 - KELANANG - Isu Pantai Kelanang tidak mendapat sambutan pengunjung sebenarnya tidak timbul jika pelbagai pihak memainkan peranan dalam usaha mempromosikan pantai peranginan berkenaan.
Menurut Adun Morib, Hasnul Baharudin, beliau memahami rungutan peniaga di pantai berkenaan yang mengeluh dengan hasil pendapatan kecuali jika ada penganjuran aktiviti di situ sahaja.
Jelas beliau, jika pelbagai promosi dan perancangan aktviti dilakukan pastinya Pantai Kelanang akan menjadi tumpuan ramai pengunjung dan para peniaga akan mendapat manfaatnya.
“Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid sendiri sudah memaklumkan Pantai Kelanang dicadangkan menjadi lokasi pertandingan memancing tahunan memandangkan aktiviti itu mendapat perhatian umum.
“Isu tiada pengunjung sebenarnya tidak timbul, namun pelbagai perancangan akan disusun bagi memastikan semua pihak mempromosikan Pantai Kelanang kepada umum sama seperti di Pantai Morib,” katanya kepada Sinar Harian ketika bertemu peniaga di Pantai Kelanang, kelmarin.
Hasnul mengakui, kesemua peniaga yang ditemui memaklumkan hasil pendapatan sepanjang hari Pertandingan Santai Pancing anjuran MDKL yang diadakan kelmarin berlipat kali ganda sekaligus mengharapkan program seperti itu lebih kerap diadakan.
Bagi seorang peniaga roti canai, Mohd Shaffie Abu Samah, 40 berkata, diau turut mengakui peniaga boleh tersenyum apabila terdapat aktiviti besar dianjurkan di Pantai Kelanang.
Menurutnya, jika tiada langsung program, kebanyakan gerai di sini kurang mendapat sambutan sehingga peniaga terpaksa membuka gerai mereka pada sebelah petang sahaja dan terdapat peniaga hanya berniaga pada hujung minggu sahaja.
“Sebagai peniaga, saya memang mengharapkan ada aktiviti dianjurkan di Pantai Kelanang supaya dapat menarik minat pengunjung sekaligus gerai di sini dipenuhi pengunjung.
“Kalau tidak, memang keadaan gerai di sini lengang tanpa pengunjung yang ramai,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan peniaga menyambut baik sekiranya lebih banyak program diadakan di Pantai Kelanang memandangkan mereka sukar menjana pendapatan berikutan Pantai Kelanang tidak mendapat sambutan ramai.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2017-12-27 11:45:07 daripada Administrator