Jom Shopping PKM Dun Morib buat tapisan penerima
Hasnul (lima, kiri) bersama sebahagian penerima bantuan Jom Shopping.
5 Februari 2018 - SUNGAI SEDU - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Morib menjalankan tapisan terhadap nama-nama penerima bantuan Jom Shopping yang sudah menerima tiga kali bantuan itu.
Adun Morib, Hasnul Baharuddin berkata, langkah itu dibuat supaya dapat memberi peluang kepada penerima lain merasai bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, bagaimanapun sekiranya PKM Dun Morib mendapati keluarga itu benar-benar layak dan miskin kita akan menukarkan penama kepada suami atau isteri atau anak bagi meneruskan bantuan.
“PKM mahu mereka (keluarga) yang benar-benar layak saja dapat bantuan baucar sebanyak RM100 itu sebagai usaha meringankan beban keluarga yang terpilih.
“Setakat ini, penerimaan mereka sangat baik dan berharap program ini diteruskan...walaupun ada di antara mereka maklum mengenai tapisan nama yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jom Shopping Sempena Tahun Baru Cina 2018 di Pasar Raya Giant Banting.
Hasnul berkata, program anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Pusat Peduli Rakyat Dun Morib itu diperuntukkan kepada 400 penerima bagi Dun Morib khususnya untuk masyarakat Cina yang berpendapatan kurang daripada RM1,500.
“Bantuan Jom Shopping ini bukan kali pertama diadakan di kawasan Dun Morib, malah jadi salah satu program tetap Pusat Peduli Rakyat setiap kali menyambut pelbagai perayaan di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2018-02-08 13:36:43 daripada Administrator