Penduduk bantah projek pembinaan perkuburan bersepadu
5 Februari 2018 - KUALA LANGAT – Kira-kira 30 penduduk sekitar Kampung Sungai Kelambu, Sungai Lang Tengah dan Sungai Lang berkumpul membantah projek pembinaan perkuburan bersepadu yang bakal diwujudkan di kawasan itu.
Melalui papan tanda yang didirikan di tapak projek berkenaan, kerja -kerja menebang pokok, menambak tanah dan membina jalan keluar masuk di atas tanah perkuburan bersepadu di Sungai Kelambu itu telah bermula sejak 18 Disember dan dijangka siap pada 12 Mac depan.
Penduduk Sungai Kelambu, Abdul Fitri Paring, 47 , berkata, dia tidak berpuas hati dengan projek pembinaan perkuburan kerana kawasan berkenaan dihuni lebih 90 peratus penduduk Melayu.
Menurutnya, dia terkejut apabila papan tanda didirikan tanpa mempunyai maklumat terperinci.
"Kami terpaksa mengadakan bantahan apabila difahamkan tanah perkuburan itu bakal digunakan oleh orang luar dan bukannya penduduk sekitar.
"Malah penduduk tertanya -tanya kenapa perlu bina kawasan perkuburan dengan tanah cukup luas di kawasan majoriti orang Melayu," katanya kepada Sinar Harian di tapak projek tanah perkuburan bersepadu di Sungai Kelambu.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2018-02-08 13:39:05 daripada Administrator