Kes kanak-kanak hilang selesai
Nur Alicia yang hilang ditemui semula, kelmarin.
17 April 2018 - KUALA LANGAT - Misteri kehilangan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun di Kanchong Darat,di sini, yang tular di media sosial kelmarin terjawab selepas mangsa ditemui di sebuah rumah anak yatim di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, Qaseh Nur Alicia Muhammad Erwan,6, ditemui oleh kakak tirinya yang di sebuah masjid berhampiran rumah anak yatim berkenaan.
"Ibu mangsa menghantarnya untuk mengikuti latihan bola jaring di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, namun mangsa berjalan keluar dari kawasan sekolah selepas gagal menemui rakan-rakannya.
"Dia tunggu ibunya di masjid itu," katanya,semalam.
Azizan berkata, mangsa telah dibawa kepada guru sekolah yang juga tenaga pengajar di pusat asnaf itu.
Katanya, mangsa dalam keadaan baik dan tiada sebarang kecederaan dan telah diserahkan semula kepada ibunya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKD, Sudirman Ismon berkata, kes itu dianggap selesai selepas kanak-kanak yang hilang dijumpai semula dalam masa 24 jam.
Katanya, kejadian itu, turut membimbangkan semua pihak terutama pihak sekolah.
“Bagaimanapun, kes ini selesai dan kanak-kanak terbabit telah dibawa pulang ke pangkuan keluarganya,” katanya.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2018-04-18 10:40:11 daripada Administrator