MDKL beri amaran senarai hitam penganjur
MDKL kesal tindakan penganjur yang membiarkan keadaan berhampiran pantai menjadi kotor selepas penganjurkan satu program baru-baru ini.
10 Ogos 2018 - BANTING - Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi amaran bakal menyenaraihitam penganjur program yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan selepas diberi kelulusan menganjurkan aktiviti di Pantai Morib.
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid, beliau kesal dengan sikap penganjur program yang membiarkan sampah memenuhi kawasan selepas mengadakan satu program berhampiran pantai itu baru-baru ini.
Menurutnya, melalui kelulusan diberi, pihak MDKL menyatakan beberapa syarat perlu dipatuhi pihak penganjur antaranya memastikan pantai berada dalam keadaan sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang sampah sarap.
"Tapi malang sekali bila ada masyarakat tak bertanggungjawab sengaja buang sampah merata-rata di Pantai Morib hingga undang ketidakselesaan pengunjung selain cemarkan pemandangan pantai itu sendiri.
"Saya ingatkan kepada semua penganjur yang diberi kelulusan anjurkan sebarang aktiviti di Pantai Morib supaya sentiasa patuh syarat ditetapkan sekiranya tak mahu nama mereka di senarai hitamkan dan tindakan keras diambil," katanya.
Beliau berkata rata-rata kemusnahan berlaku ketika ini adalah kerana sikap sesetengah masyarakat yang tidak bertanggung jawab membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan kesan buruk bakal berlaku.
"Sikap itu jadi punca kegagalan pelbagai pihak tangani isu lupuskan sampah dengan cara betul sekali gus faktor utama menyumbang kepada lokasi sampah haram.
"Sedangkan banyak pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta bertungkus -lumus berusaha bagi pastikan kelestarian alam sekitar kekal terjamin dengan jalankan pelbagai program dan aktiviti dalam daerah ini,"katanya.
Dalam masa itu Mohamad Zain mengajak masyarakat di daerah ini bersama-sama MDKL untuk memastikan kawasan itu dalam keadaan bersih dan selamat dengan menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan.
*Sumber : Sinar Harian Online
Kemaskini pada 2018-08-13 17:08:04 daripada Administrator